Berita Utama

PAS kaji keterbukaan UMNO pulih MN

Keputusan muktamad dibuat sebelum hujung minggu

BANGI, 6 Rabiulawal 1444H, Isnin – PAS akan mengkaji secara mendalam keterbukaan UMNO untuk menyuburkan kembali Muafakat Nasional (MN) dengan keputusan muktamad mengenai perkara itu akan dibuat parti berkenaan sebelum hujung minggu ini.

Menerusi satu kenyataan, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, keputusan itu akan mengambil kira aspek maslahah yang lebih besar serta mudhorat (risiko) yang paling ringan.

“PAS menyambut baik kenyataan Presiden UMNO (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) semalam yang menzahirkan keterbukaan UMNO dan PAS memulihkan agenda penyatuan ummah berikutan pertemuan empat mata dua Presiden UMNO dan PAS pada 17 September lalu.

“PAS mengulangi komitmen untuk bersama dalam segala usaha ke arah mencapai hasrat penyatuan ummah terutamanya di kalangan rakyat berbangsa Melayu dan beragama Islam berteraskan Ayat 10 Surah al-Hujurat yang menekankan soal ‘perdamaian’ di antara orang-orang Islam yang bertelagah dalam sesuatu urusan mereka,” katanya.

Dalam hal ini, beliau berkata, PAS turut menekankan soal penyelesaian sesuatu perkara perlu dirujuk kepada sumber Agama Islam iaitu Al-Quran dan Al-Hadith.

“Sesungguhnya perkara di atas juga terkandung secara jelas dan tersurat di dalam Piagam MN yang sudah dimeterai pada 14 September 2019,” katanya yang memetik ayat 59 Surah An-Nisa.

Katanya lagi, PAS tetap mengharapkan suatu jalinan penyatuan ummah yang sejati dapat direalisasikan di antara parti utama Melayu dan Islam di negara ini.

Ia dengan mengambil roh dan semangat persaudaraan Islam seperti yang ditunjukkan dalam sirah iaitu antara Aus-Khawraj dan Muhajirin-Ansar yang akhirnya membawa kepada kekuatan dan kegemilangan pemerintahan berteraskan Islam.

Semalam, Ahmad Zahid memaklumkan UMNO tidak pernah memadamkan agenda penyatuan ummah yang menjadi teras MN dan asas kepada kestabilan politik tanah air.

Justeru katanya, sebarang usaha memulihkan MN atau apa jua bentuk permuafakatan dan kerjasama perlulah kembali berpandukan kepada prinsip dan semangat piagam asal sebagaimana yang pernah dimeterai dan disepakati.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button