Berita Utama

Bajet 2023: Mohon kerajaan beli balik Tanah Rizab Melayu tergadai

Kerajaan perlu peruntuk dana untuk pembangunan sosiobudaya Melayu

SAYA lihat sejak akhir-akhir ini, orang Melayu melalui parti-parti politik dan malah NGO-NGOnya terlalu sibuk dengan soal bubar parlimen dan PRU15.

Namun, saya rasa amatlah rugi jika kita tidak endahkan langsung soal Belanjawan 2023 yang lebih pasti dan jelas akan dibentangkan tidak lama lagi. Malah, saya lihat parti-parti politik dan NGO-NGO bangsa lain lebih fokus berbicara dan melobi dalam hal ini.

Sangatlah rugi jika orang Melayu tidak melobi secara serius dalam Belanjawan terakhir bagi penggal Parlimen yang hampir habis ini. Biasanya, kelompok mana yang paling kuat melobi, dialah yang dapat untung.

Kebetulan beberapa hari yang lalu, saya menghadiri sebuah sidang akhbar bersama Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) dan ditemubual oleh para wartawan. Alhamdulillah sedikit sebanyak mendapat liputan, walaupun tenggelam dalam lautan berita-berita politik dan bubar Parlimen.

Pertama sekali, saya mencadangkan agar kerajaan memperuntukkan antara RM1 billion hingga RM5 billion setahun untuk usaha membeli balik Tanah-Tanah Rizab Melayu yang tergadai yang selama ini dijanji untuk digantikan tetapi masih tidak tertunai.

Banyak tanah di tempat-tempat strategik seperti di Jalan Tunku Abdul Rahman, Bukit Bintang dan Jalan Ampang yang asalnya Tanah Rizab Melayu, namun sudah menjadi milik asing. Kerajaan melalui pelbagai kekuatan agensi dan kewangan sebenarnya mampu untuk membelinya kembali, hanya tinggal kemahuan dan political will sahaja.

Kedua, saya mencadangkan agar kerajaan memperuntukkan sekitar RM200 juta menerusi Belanjawan 2023 bagi tujuan pembangunan sosiobudaya Melayu agar tidak luput ditelan zaman selain sebagai medium mempromosikan kebudayaan dan pelancongan.

Melihat kepada arus dan gelombang minat terhadap sejarah dan identiti Melayu yang kuat dan malah semakin popular di pentas global, maka kerajaan perlu mengambil kesempatan sehabis baik ketika ‘timing’ yang baik ini.

Misalnya, kajian mengenai Tamadun di Sungai Batu (Lembah Bujang, Kedah) adalah satu sejarah yang cukup besar tetapi sekian lama tidak ada peruntukan yang secukupnya telah diberikan. Kalau di Barat, sedikit sahaja penemuan sejarah lampau mereka maka akan disambut serta diperbesarkan melalui segala bentuk publisiti dan peruntukan.

Ketiga, saya mencadangkan agar kerajaan melupuskan hutang pelajaran yang berjumlah lebih RM7.4 billion memandangkan terlalu ramai graduan yang mengganggur, tidak bekerja dalam bidang pengajian malah ada yang bankrap akibat ekonomi yang semakin meruncing.

Malah, hutang pelajaran bagi agensi-agensi lain juga boleh dipertimbangkan juga, cuma saya tiada statistiknya. Pastinya ini akan meringankan beban rakyat dan membuka lembaran baharu bagi mereka memandangkan ada ura-ura yang kuat bakal berlakunya kemelesetan ekonomi global yang teruk tidak lama lagi.

Ini hanya sedikit sebanyak lontaran yang saya boleh berikan secara tuntas dan saya akan cuba sampaikan kepada pihak yang berwajib. Saya pasti, jika dapat fikir-fikirkan lebih dalam, pasti akan ada banyak idea yang boleh diketengahkan untuk Belanjawan 2023 ini.

Saya harap akan ada lebih banyak perbincangan mengenai Belanjawan 2023 dalam kalangan pemimpin dan negarawan berbangsa Melayu kita selepas ini.

Haji Aminuddin Yahaya
Pengerusi PEMBELA
3 Oktober 2022

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button