Cita-cita Anwar jadi PM punca PH jatuh: Warisan
Manifesto tak terlaksana sebab PH hilang fokus

KOTA KINABALU, 6 Rabiulawal 1444H, Isnin – Keinginan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri adalah punca kerajaan Pakatan Harapan (PH) jatuh pada 2020, demikian dakwa Ketua Penerangan Parti Warisan, Khairuddin Daud.
Beliau berkata, ‘Cita-cita Anwar’ mencetuskan pergolakan dalaman yang menyaksikan kerajaan PH berusia 22 bulan itu berpecah belah.
Kenyataan terbaharu Warisan terhadap PKR itu dibuat di tengah-tengah perang mulut yang berterusan antara dua bekas sekutu itu, lapor akhbar tempatan.
Minggu lalu, Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal memberitahu orang ramai di Sandakan bahawa tidak ada gunanya menyokong parti seperti DAP dan PKR kerana pemimpin mereka gagal menunaikan hak Sabah yang dijanjikan semasa PH berkuasa.
Ia mencetuskan reaksi keras terhadap Warisan daripada DAP dan PKR yang menuduh Warisan memecahkan undi.
Khairuddin berkata semua orang dalam PKR mengetahui bahawa kegagalan PH untuk mengekalkan Putrajaya adalah kerana pergolakan dalaman.
Dakwanya, cita-cita Anwar untuk menjadi PM (menghalang) PH daripada terus mentadbir negara kerana fokus lebih terarah kepada matlamat itu berbanding menunaikan manifesto pilihan raya.
Ekoran itu, PH menjadi tidak stabil dan selepas tumbang di peringkat persekutuan, beberapa kerajaan negeri tumbang termasuk Sabah.
“Pengajaran yang dipelajari ialah politik dalaman parti-parti negara memberi kesan langsung kepada Sabah,” kata Khairuddin.
Jelasnya, ini adalah antara sebab utama rakyat Sabah harus menyokong parti tempatan.
PKR juga harus menerima hakikat bahawa ia tidak diterima dengan baik di Sabah walaupun kehadirannya lebih dua dekad, katanya.
“Malah pada pilihan raya negeri mengejut September 2020, PKR di bawah lambangnya sendiri hanya memenangi dua daripada tujuh kerusi berbanding DAP, bertanding di bawah Warisan Plus, yang memenangi lebih banyak kerusi. (DAP memenangi enam daripada enam kerusi yang ditandinginya),” katanya.