Berita Utama

Kategori kumpulan pendapatan rakyat Malaysia akan disemak semula

Semakan berdasarkan kos sara hidup, lokasi isi rumah: Mustapa

KUALA LUMPUR, 6 Rabiulawal 1444H, Isnin – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kategori kumpulan pendapatan rakyat Malaysia akan disemak semula.

Beliau berkata, ia akan dilakukan berdasarkan kaji selidik Survei Pendapatan, Perbelanjaan Isi Rumah dan Kemudahan Asas (HIES/BA) yang dilancarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Kajian itu akan dilaksanakan dalam Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang akan bermula pertengahan bulan ini.

Katanya, semakan semula akan dibuat berdasarkan dapatan kaji selidik pendapatan, perbelanjaan dan kemudahan asas rakyat Malaysia tahun ini.

“Semakan itu akan mengambil kira, antara lain, perubahan dalam struktur pendapatan dan perbelanjaan, kos sara hidup, demografi dan lokasi isi rumah,” katanya.

Mustapa berkata, kategori baharu itu akan mengukuhkan lagi penggubalan dasar dan menambah baik perkhidmatan penyampaian kepada kumpulan sasaran.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan yang dibangkitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) di Dewan Rakyat, hari ini.

Ahli Parlimen Jeli itu turut memaklumkan bahawa 92,000 isi rumah bakal ditemu bual di bawah tinjauan kumpulan pendapatan, yang akan dilakukan menjelang suku pertama 2023.

Beliau kemudian berkata, ketika ini terdapat 2.91 juta isi rumah di bawah kumpulan B40 melibatkan isi rumah berpendapatan kurang daripada RM4,850 sebulan.

“Terdapat 2.91 juta isi rumah pula di bawah kumpulan M40 membabitkan pendapatan bulanan antara RM4,850 dan RM10,959 dan terdapat 1.46 juta isi rumah di bawah kumpulan T20 di mana pendapatan bulanan melebihi RM10,960,” katanya.

Bagi golongan miskin tegar pula, Mustapa berkata, terdapat peningkatan dalam tempoh pandemik COVID-19.

Beliau berkata, bahawa miskin tegar berada pada 5.6 peratus sebelum wabak pada 2020 dan meningkat kepada 8.4 peratus.

Bagaimanapun, beliau berkata, jumlah itu menurun sejak April 2021 apabila ekonomi mula dibuka dengan pengangguran menurun secara beransur-ansur kepada 3.7 peratus daripada 5.3 peratus.

“Sebagai contoh, data yang digunakan untuk mengukur golongan miskin tegar berdasarkan penerima di bawah e-Kasih berkurangan secara drastik daripada 262,000 penerima tahun lepas kepada 130,000 setakat 15 September tahun ini,” tambahnya.

Mengenai kadar inflasi, Mustapa berkata inflasi berada pada 4.7 peratus pada Ogos berbanding 4.4 peratus pada Julai.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button