Berita Utama

Kedah larang konsert hiburan cetus kelakuan luar tatasusila

Jangan biar aktiviti langgar norma masyarakat diberi ruang 'membiak'

BANGI, 6 Rabiulawal 1444H, Isnin – Sebarang konsert hiburan yang mencetuskan kelakuan di luar tatasusila tidak akan dibenarkan di seluruh Kedah, berkuat kuasa serta-merta.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor ketika mengumumkan perkara itu berkata, penganjuran Muda-Mudi Weekend Festival baru-baru ini, kini menjadi penanda aras dalam penganjuran program hiburan di negeri ini berhubung larangan terbabit.

Jelasnya, program yang berlangsung di Balai Seni Alor Setar itu menunjukkan bahawa sebarang aktiviti yang boleh merangsang pelanggaran norma masyarakat tempatan, tidak boleh diberi ruang untuk ‘membiak’.

“Penganjuran acara yang menyihatkan tubuh badan seperti larian, kayuhan basikal, pencarian harta (treasure hunt), pertandingan memancing dan lain-lain adalah digalakkan.

“Bagaimanapun, acara terbabit perlu selari dengan undang-undang, garis panduan program terbuka dan sesuai dengan tatasusila masyarakat tempatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Muhammad Sanusi berkata, semua Pegawai Daerah yang mempengerusikan jawatankuasa berkaitan pelesenan hiburan, telah dimaklumkan mengenai penguatkuasaan larangan itu.

“Arahan berkaitan larangan ini berkuat kuasa serta-merta di seluruh Kedah,” katanya.

Sebelum itu, tular di media sosial rakaman video persembahan kumpulan muzik di pentas yang disaksikan ratusan penonton terdiri daripada anak muda dengan pelbagai aksi di Balai Seni di Alor Setar.

Acara berkenaan mengundang rasa kurang senang dalam kalangan orang ramai memandangkan ia diadakan tidak jauh daripada Masjid Zahir di situ.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button