Berita Utama

Menghendap kini kesalahan jenayah

Juga babitkan kelakuan menghendap secara maya melalui media sosial

BANGI, 6 Rabiulawal 1444H, Isnin – Pindaan ke atas Kanun Keseksaan dan Kanun Tatacara Jenayah diluluskan di Dewan Rakyat hari ini, sekali gus menjadikan tindakan menghendap sebagai kesalahan jenayah.

RUU Kanun Keseksaan (Pindaan) 2022 dan RUU Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) (No. 2) 2022 itu diluluskan sebulat suara selepas dibahas Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, melalui pindaan Kanun Keseksaan, kesalahan menghendap bukan saja terhad kepada secara fizikal.

Namun, ia turut membabitkan kelakuan menghendap secara maya melalui media sosial seperti Facebook dan Instagram, dalam usaha menangani kesalahan itu secara menyeluruh.

“Pindaan ini dilihat sebagai suatu mekanisme yang mampu memberi impak tinggi apabila pihak berkuasa bukan saja dapat menghalang perlakuan mengganggu dan menghendap.

“Malah diyakini dapat menyelamatkan nyawa seseorang.

“Ini secara tidak langsung berpotensi untuk memberi keyakinan kepada orang ramai terhadap langkah kerajaan dalam menangani isu perlakuan mengganggu dan menghendap ini,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Bagi pindaan ke atas Kanun Tatacara Jenayah, Mas Ermieyati berkata, ia akan memberikan perlindungan undang-undang kepada mangsa jenayah menghendap melalui perintah perlindungan yang dikeluarkan pihak mahkamah.

Pindaan tersebut diwujudkan berdasarkan falsafah untuk membendung jenayah menghendap dan pada masa sama, akan dapat mengurangkan kebimbangan, ketakutan dan trauma kepada mangsa.

“Ketika ini, undang-undang sedia ada hanya melindungi mangsa kepada perlakuan mengganggu dan menghendap yang terjadi kepada pasangan yang pernah mempunyai hubungan perkahwinan sah atau sudah bercerai.

“Bagaimanapun, bagi perlakuan yang membabitkan pihak yang tidak pernah mempunyai perhubungan perkahwinan yang sah, tiada undang-undang khusus dan jelas yang diperuntukkan kepada mangsa,” katanya lagi.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button