Dunia

Tak mungkin COVID-19 berakhir tahun ini: WHO

Pelan COVAX akhiri fasa akut wabak pada penghujung 2021

GENEVA, 18 Rejab 1442H, Selasa – Tidak realistik untuk mengharapkan pandemik COVID-19 – yang mula menular sejak 2019 – berakhir pada penghujung tahun ini, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). 

Meskipun boleh berakhir lebih awal, namun Pengarah Eksekutif Program Kesihatan Kecemasan WHO, Dr Michael Ryan menganggap keadaan itu sebagai tidak realistik. 

“Jadi, saya berpendapat tidak realistik untuk kita fikir bahawa pandemik ini dapat berakhir pada penghujung tahun.

“Tetapi saya rasa apa yang kita mampu adalah tangani kadar jangkitan dan rawatan di hospital, kematian serta penularan baharu berkaitan wabak ini,” katanya dalam sidang media, semalam. 

Sementara itu, Ketua Saintis WHO, Dr Soumya Swaminathan berkata, tujuan pelan vaksinasi COVAX adalah untuk mengakhiri fasa akut wabak pada penghujung 2021. 

COVAX adalah program yang diketuai WHO, Gavi dan Gabungan Inovasi Kesediaan Wabak (CEPI) bagi memastikan pemberian vaksin COVID-19 diterima seluruh dunia. 

“Kita masih berdepan cabaran besar dalam memberikan vaksin secara adil kepada mereka yang paling memerlukan di seluruh dunia.

“Kita berada di posisi yang jauh lebih baik daripada sepatutnya. Namun ia bukan jaminan kerana negara sedang berjuang melawan wabak,” katanya. 

Menurut maklumat dikeluarkan WHO, terdapat 256 vaksin masih dalam fasa dibangunkan di seluruh dunia – 74 daripadanya dalam ujian klinikal – termasuk di Jerman, China, Russia, Britain dan Amerika Syarikat (AS).-  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button