Artikel Khas

PAS wajib tinggalkan PN jika sayangkan Islam dan negara

UMNO-PAS kembalilah, duduk semeja, berbincanglah mulai sekarang

LANJUTAN artikel saya minggu lalu bertajuk, “PAS tolong ingatkan Bersatu (PPBM) jangan celupar sangat”, yang mana Bersatu mahu menjadikan UMNO sebagai musuh utama, sudah tentu bercanggah dengan idea penyatuan ummah yang dibawa oleh PAS selama ini.

Kunjungan Presiden PAS ke rumah Presiden UMNO selepas itu, sudah semestinya mempunyai kaitan. Hasrat murni PAS selama ini, mahu satukan ummah melalui PN (Bersatu) dan MN (UMNO), hakikatnya, tidak berlaku. Bersatu langsung tidak hormat pendirian PAS yang sayangkan penyatuan ummah merentasi parti.

Ternyata, Bersatu begitu lantang mahu menjadi UMNO sebagai musuh utama. Saya tidak fikir kenyataan ini akan dikeluar jika PAS tidak bersama Bersatu. Percayalah, tanpa PAS, Bersatu tidak akan memenangi walaupun satu kerusi dalam PRU15.

Dalam kata lain, Bersatu tanpa PAS, ibarat anak kehilangan ibu. Apakah PAS tidak sedar lagi?

Justeru, pertemuan presiden PAS dan presiden UMNO, disebabkan oleh keceluparan Bersatu, sepatutnya menjadi titik tolak untuk PAS meninggalkan PN dan kembalilah bertaut bersama UMNO dalam MN, jika PAS benar-benar sayangkan agama dan negara ini.

Benar, PAS terhutang budi kepada Bersatu, disebabkan Langkah Sheraton, PAS berada dalam kabinet. Begitu juga dengan UMNO. Jika tidak, sehingga ke hari ini PH masih memerintah, UMNO-PAS masih terus menjadi pembangkang. Semua yang berlaku, itu ada sebab dan hikmahnya.

Namun, PAS tidak boleh terus meneruskan terikat dengan ikatan budi tersebut bersama Bersatu, sehingga melupakan maslahah yang lebih besar.

Dalam politik, kadangkala, apabila berlaku pertembungan antara isu budi dengan maslahah ummah yang lebih besar, maka ummah mesti diutamakan.

Masa depan Islam dan negara jauh lebih besar daripada ikatan budi. Lagipun ikatan budi tersebut bukan berlaku sebelah pihak, tanpa sokongan dan sokongan UMNO-PAS, mana mungkin terbentuk kerajaan yang ditadbir hari ini.

Dalam kata lain, masing-masing terhutang budi. Tidak ada isu. Semua telah ditakdirkan. Kita tidak sepatutnya terus terikat dengan ikatan budi. Kadang-kadang politik bukan berlaku seperti yang dirancangkan. Nasib baik telah disedari.

Memang selama ini, apabila MN berjaya dimeterikan, ada agenda untuk memecah belah hubungan UMNO-PAS. Perancangan itu sudah hampir berjaya. Siapa sikitol dan mandaliar itu yang memecahkan MN selama ini? Ramai boleh meneka.

Apapun masih belum terlambat untuk UMNO-PAS bertaut kembali. Pokoknya, jangan saling sakit-menyakiti. Berhikmahlah. Segera UMNO-PAS mesti melakukan muhasabah. Rakyat yang sayangkan agama dan negara sentiasa mendoakan.

Kebelakangan ini kedua parti UMNO-PAS saling hentam-menghentam, sakit-menyakiti, luka-melukai, sehingga merenggangkan tali silaturrahmi.

UMNO-PAS perlu kenal siapa musuh sebenar. Jika PAS kembali bertaut bersama UMNO, tidak mustahil Bersatu akan kembali kepada UMNO, kerana tanpa PAS, Bersatu tidak akan ke mana-mana. Parti Gerakan pasti tidak boleh bergerak, walaupun namanya Gerakan.

Sebagai mualaf Cina dan pengkaji politik, saya merayu, UMNO-PAS kembalilah, duduk semeja, berbincanglah mulai sekarang demi masa depan agama, bangsa dan negara. Pada saya sudah sampai pada tahap wajib. Berlapang dada.

Dalam kenyataan Presiden UMNO selepas kunjungan Presiden PAS ke rumahnya, permintaan hanya satu, tinggalkan PN (Bersatu).

Tunggu apa lagi, Bersatu pun sudah menunjukkan belang, mahu menjadikan UMNO musuh utama. Justeru, apakah mesej itu masih tidak jelas kepada PAS?

Saya sarankan, mulai hari ini, pertama, segerakan gerakkan gerakan penyatuan ummah antara UMNO-PAS. Duduk semeja dan berbincang. Pasti ia akan menggerunkan musuh-musuh politik, terutama DAP, PKR dan PAN.

Kedua, bermula hari ini, jangan mengeluarkan kenyataan yang saling sakit-menyakiti. Berakhlaklah dengan hikmah Islam.

Ketiga, PAS mesti tinggalkan PN demi maslahah yang lebih utama. Tidak ada guna lagi berkawan dengan parti yang tidak selari dengan dasar perjuangan PAS.

Keempat, UMNO janganlah terlalu merasakan dirinya kuat. Tidak ada parti yang boleh memerintah secara bersendirian. Penyatuan UMNO-PAS adalah strategi terbaik.

Kelima, PAS harus bijak dan berstrategi dalam politik, perlu bijak memilih, kenali siapa kawan, siapa lawan.

Kelima, jika PAS umumkan keluar dari PN, pasti akan berlaku gelombang yang sangat besar impaknya dalam politik Malaysia.

Saya juga yakin jika UMNO-PAS kembali bertaut, UMNO tidak akan tergesa-gesa mendesak agar PRU segera diadakan.

Persoalannya, adakah Bersatu akan berdiam diri? Itulah perkara yang perlu difikirkan dan perlu kepada strategi.

Ingatlah, masa depan politik Melayu Islam bergantung kepada UMNO-PAS, dengan gabungan bumiputera Sabah Sarawak. Lain-lain parti kurang impak dan signifikan.

Segeralah hidupkan gelombang MN, jika kita benar-benar sayang Islam dan negara ini demi kemenangan PRU15. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.

Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button