Berita Utama

PRU sebenarnya untuk UMNO jadi PM, dakwa Tun M

Pengerusi Pejuang persoal niat sebenar gesaan adakan PRU

KUALA LUMPUR, 6 Rabiulawal 1444H, Isnin – Desakan UMNO supaya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dilaksanakan adalah bagi membolehkan pelantikan Perdana Menteri baharu daripada kalangan parti itu, dakwa Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air itu, dalam satu kenyataan ringkas bertajuk ‘I want to advise you something’, mempersoalkan sebab di sebalik gesaan UMNO untuk mengadakan PRU.

“Bukan orang yang menerima nasihat yang salah. Pemberi nasihat yang salah. Seperti adviser British nasihatnya mesti dipatuhi.

“PRU untuk rakyat? Benarkah. PRU sebenarnya untuk UMNO jadi Perdana Menteri (PM). Jadi PM boleh curi duit, boleh lantik Peguam Negara (AG) dan AG boleh lindung penyangak,” dakwanya lagi.

Susulan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO pada 30 September, Setiausaha Agung parti itu, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, UMNO mahu Parlimen dibubarkan secepat mungkin untuk PRU15 diadakan menjelang tahun ini.

Beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga dijangka membentangkan tarikh cadangan pembubaran Parlimen kepada Yang di-Pertuan Agong.

Bagaimanapun, Ahmad enggan mendedahkan tarikh yang akan dipersembahkan oleh Ismail Sabri kepada baginda.

Ismail Sabri pada Sabtu berkata, tarikh PRU15 akan diumumkan tidak lama lagi dan menggesa rakyat supaya bersabar.

Beliau juga berkata, gesaan parti untuk mengadakan PRU15 tidak lama lagi bukanlah perkara baharu dan mereka mahu mengembalikan mandat kepada rakyat.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button