Berita Utama

‘Seboleh mungkin nak kerjasama tiga parti’

PAS sentiasa berlapang dada bincang dengan UMNO

BANGI, 6 Rabiulawal 1444H, Isnin – PAS mengingatkan UMNO supaya tidak meletakkan syarat pelik sekiranya mahu bekerjasama pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, syarat diletakkan UMNO tidak memenuhi hasrat yang ingin bekerjasama bukan sahaja dengan UMNO, tetapi juga Bersatu.

“Saya lebih suka mencari titik persamaan. Jangan letak syarat bukan-bukan dan pelik.

“Kita seboleh mungkin hendak kerjasama dengan tiga parti kerana kita tahu dua parti bagus, tetapi tiga parti lebih bagus dan terbaik,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan mengemukakan tiga syarat kepada PAS ketika bertemu dengan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

UMNO dikatakan bersedia kembali ke meja rundingan dengan PAS pada PRU15 sekiranya parti itu memenuhi tiga syarat ditetapkan.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, PAS sentiasa bersikap berlapang dada untuk berbincang dengan UMNO terutama melibatkan muafakat politik di beberapa negeri antaranya seperti di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

Malah, terdapat 27 kerusi di Parlimen memerlukan perbincangan bagi memastikan kemenangan di kerusi terbabit.

Justeru, tegas beliau, kerjasama dan muafakat politik perlu dilaksanakan pada PRU15 ini bagi meneruskan kelangsungan pemerintahan negara.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button