Berita Utama

Syarat UMNO: Keputusan PAS mesti ambil kira untung rugi umat Islam

UMNO sudah hilang hala tuju, PAS perlu buat keputusan tepat

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 6 Rabiulawal 1444H, Isnin – PAS perlu membuat keputusan tepat sama ada  terus bersama Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN) atau mencari jajaran politik baharu bersama UMNO menerusi Muafakat Nasional (MN).

Pemerhati politik, Ir Ts Muhammad Lukman Al-Hakim Mohamad percaya ketika ini PAS merasa tekanan namun, parti itu perlu mendahulukan agenda perjuangan Islam sebelum yang lain.

“Saya faham PAS sudah tentu berasa sangat tertekan kerana sekarang bersama PN mereka memerintah kerajaan Persekutuan. Pelbagai posisi, jawatan menteri, timbalan menteri dan pelbagai kelebihan yang sedang dinikmati oleh PAS. 

“Tetapi, sebenarnya itu bukanlah asas untuk menentukan sama ada terus bersama PN atau bersama UMNO yang mungkin ramai menyebut bakal memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). 

“Apa yang penting adalah agenda perjuangan Islam. Dengan pelbagai faktor yang ada, sudah pasti PAS berada dalam dilema untuk terus kekal dalam kerajaan,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Sementara UMNO pula, katanya, di satu pihak yang lain sangat optimis untuk memenangi PRU15, dek kerana itu mereka ‘jual mahal’ dan meletakkan pelbagai syarat kepada PAS.

Malah, kemungkinan besar jika UMNO-BN menang PRU15 atau memenangi majoriti, mereka akan membakulsampahkan pula Bersatu. 

“Ini adalah faktor yang membuatkan UMNO ini begitu bongkak, sombong dan kita tahu UMNO ini sangat pragmatis, tidak ada pendirian, sudah hilang hala tuju perjuangan Melayu apatah lagi Islam. 

“Jadi di sinilah PAS harus membuat satu keputusan yang tepat untuk terus bersama-sama dengan Bersatu atau UMNO yang kita tahu sangat-sangat mementingkan diri sendiri dan tidak ada identiti,” katanya.

Lukman yang juga Setiausaha Agung BERJASA berkata, walau apa pun syarat yang diletakkan mana-mana pihak, perbincangan menyeluruh perlu dilakukan agar keputusannya tidak menjadi kerugian kepada umat Islam di negara ini.

“Nasihat saya yang ikhlas kepada PAS, sila buat keputusan berdasarkan agenda perjuangan dan juga motif untuk memartabatkan Islam di Malaysia berlandaskan syarak.

“… dan juga timbal balik keuntungan dan kerugian untuk umat Islam di Malaysia, bukannya berdasarkan habuan politik untuk terus berada di dalam kerajaan Persekutuan atau pun posisi strategik di dalam kerajaan. 

“Saya tahu ini satu keputusan yang sukar. Saya doakan pimpinan PAS dapat membuat satu muzakarah yang menyeluruh, memanggil pakar-pakar. Membincangkan secara masak dan tuntas bagi mendapat strategi terbaik dalam menghadapi PRU15 akan datang,” katanya.

Terdahulu, UMNO dilaporkan memberi kata dua kepada PAS sekiranya mahu meneruskan hasrat bekerjasama politik dengan parti itu untuk menghadapi PRU15 tidak lama lagi.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti itu menetapkan tiga syarat utama kepada PAS iaitu perlu keluar daripada gabungan Perikatan Nasional (PN) serta memutuskan hubungan politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

PAS juga perlu mengisytiharkan secara rasmi bahawa parti itu sudah mufarakah’ (berpisah) sepenuhnya dengan PN dan Bersatu.

Memberi reaksi kepada syarat itu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, PAS akan mengkaji secara mendalam keterbukaan UMNO untuk menyuburkan kembali MN dengan keputusan muktamad mengenainya akan dibuat parti itu sebelum hujung minggu ini.

Beliau berkata, keputusan itu akan mengambil kira aspek maslahah yang lebih besar serta mudhorat (risiko) yang lebih ringan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button