Berita Utama

Cadang pinda Akta DBPA tingkat kesedaran bahasa kebangsaan

DBP boleh ambil tindakan mengikut peruntukan perundangan

KUALA LUMPUR, 14 Zulkaedah 1441H, Isnin – Cadangan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) supaya kerajaan meminda Akta DBP dilihat mampu meningkatkan kesedaran orang ramai dalam penggunaan bahasa Melayu dengan lebih bertanggungjawab.

Menurut Persatuan Penterjemah Malaysia (PPM), pindaan yang dicadangkan bagi membolehkan DBP mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang tidak menghormati bahasa kebangsaan itu juga dapat memperkasa bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan satu daripada bahasa utama dunia.

“Selaras dengan fungsinya sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa pemersatuan rakyat, bahasa Melayu perlulah diangkat dalam semua bidang termasuk pentadbiran, pendidikan, undang-undang, media dan sebagainya melalui penguasaan bahasa secara tegas, berkesan dan berterusan.

“Melalui komitmen kerajaan dalam meminda Akta DBP itu, kami yakin semua pihak akan akur kepada penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam semua ranah kehidupan, secara lebih bertanggungjawab,” menurut PPM dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, penguatkuasaan undang-undang merupakan satu daripada langkah bagi mengawal selia serta memastikan penggunaan bahasa yang betul, jitu dan bermutu selain menimbulkan kesedaran dalam masyarakat berbilang kaum tentang wujudnya bahasa kebangsaan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

PPM turut bersedia menggalas tanggungjawab bersama DBP bukan sahaja dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa utama negara, malah sehingga ke peringkat antarabangsa, setanding bahasa utama lain di dunia. =-Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button