130 juta rakyat Bangladesh terjejas bekalan elektrik
Kerosakan teknikal dipercayai punca insiden

DHAKA, 7 Rabiulawal 1444H, Selasa – Sekurang-kurangnya 130 juta orang di Bangladesh mengalami gangguan bekalan elektrik pada Selasa selepas kegagalan grid.
Jurucakap Lembaga Pembangunan Tenaga Bangladesh, Shameem Hasan berkata, grid elektrik negara tidak berfungsi sekitar jam 2 petang menyebabkan kira-kira 75 hingga 80 peratus kawasan negara itu mengalami gangguan bekalan elektrik.
Katanya, selain beberapa lokasi di barat laut Bangladesh, kawasan selebihnya negara itu tidak mempunyai elektrik.
“Kami cuba memulihkan sistem berkenaan,” katanya sambil menambah bahawa utiliti pada masa ini mengeluarkan sekitar 4,500 megawatt (MW) kuasa, berbanding permintaan seluruh negara sebanyak 14,200 MW.
Beliau tidak menolak kemungkinan kerosakan teknikal punca insiden berkenaan.
“Ia masih dalam siasatan,” katanya. – Agensi