Hati-hati! Dokumen bukan kitab suci PH akan muncul semula
Beringatlah kisah mansuhkan tol, PTPTN percuma, kata Zahid

BANGI, 7 Rabiulawal 1444H, Selasa – Selepas hampir lima tahun berlalu, terdapat bayangan dokumen manifesto pembangkang yang pernah dikeluarkan pada 2018 akan muncul semula untuk memperdaya rakyat.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan dokumen – yang dianggap bukan kitab suci – itu licik, manipulatif dan berbahaya kerana pernah merosakkan rasional manusia.
Beliau berkata, sejarah bagaimanapun membuktikan bahawa dokumen berkenaan sara kepalsuan, pembohongan dan penipuan yang memesongkan janji-janji manis pembangkang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.
“Mereka yang pernah ‘mengimaninya’ terawang-awang dalam halusinasi fantasi tidak bertepian sehingga meranap intelek dan logik akal.
“Dokumen bukan kita suci muncul sekitar tahun 2018 ini menghasut gelora nafsu manusia lalu memusnahkan kejujuran dan realistik insani.
“Manusia yang ‘menganutinya’ dijanjikan syurga dunia serta kemewahan tidak masuk akal menyebabkan begitu ramai terpesona lalu dimangsakan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ahmad Zahid yang merujuk Buku Harapan Pakatan Harapan (PH) menyifatkan dokumen umpama ‘bulan dan bintang’ itu sememangnya menarik namun sukar untuk kandungannya direalisasikan.
Katanya, sehingga kini tiada pihak yang berani mengaku mencipta dokumen tipu daya itu, meskipun petunjuk paling hampir cuma individu mengaku menjadi tukang tulis.
“Hanya yang pasti terdapat gerombolan yang suatu ketika dulu menjadikan dokumen bukan kitab suci ini alat untuk memanfaatkan kepentingan mereka.
“Selepas manfaat telah dikaut, mereka cuba membuat manusia terlupa kewujudan dokumen ini dengan pelbagai penceritaan untuk mengelirukan,” katanya.
Justeru, Ahmad Zahid menasihatkan rakyat Malaysia untuk berhati-hati menjelang PRU15 supaya tidak lagi diperdaya dengan dokumen berkenaan.
“Usah terlalu mudah dihalusinasi lagi oleh kelicikan dan manipulasi yang amat berbahaya serta memusnahkan itu.
“Beringatlah kepada kisah seperti Mansuhkan Tol dan PTPTN percuma, InsyaAllah kita akan mengetahui apabila ia telah kembali,” katanya.