Berita Utama

Malaysia tertarik kaedah 1 dos vaksin Johnson & Johnson

Kerajaan akan tandatangani kontrak pemerolehan dari AS dalam masa terdekat

PUTRAJAYA, 6 Rejab 1442H, Khamis – Malaysia tertarik dengan vaksin COVID-19 keluaran Johnson & Johnson berikutan penerima hanya memerlukan satu dos, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

“Vaksin Johnson & Johnson menggunakan kaedah satu dos dan ia sangat menarik untuk digunakan,” katanya ketika kepada pemberita selepas menerima sumbangan 2.7 juta picagari jenis low dead-volume bernilai RM891,000 daripada Etiqa Family Takaful Berhad di kementeriannya di sini hari ini.

Semalam, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin berkata, kerajaan akan menandatangani kontrak pemerolehan vaksin COVID-19 Johnson & Johnson dari Amerika Syarikat dalam masa terdekat.

Menurut Khairy, makluman klinikal mengenai vaksin itu amat positif dan jemaah menteri, berdasarkan syor Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV), membuat keputusan untuk membeli vaksin tersebut.

Mengulas lanjut mengenai vaksin itu, Dr Adham berkata, kerajaan masih belum menentukan jumlah vaksin yang akan diperoleh daripada Johnson & Johnson.

“Setakat ini kita masih belum dapat terma-terma, namun rundingan dibuat dan kita tengah tunggu beberapa tindakan daripada pihak pengeluar khusus untuk kita dapatkan maklumat teknikal dan dosir vaksin tersebut,” katanya.

Sementara itu, Dr Adham berkata, kesemua picagari yang diterima hari ini akan digunakan bagi pelaksanaan fasa pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang bermula pada 26 Feb ini melibatkan kira-kira 500,000 petugas barisan hadapan.

“Sumbangan ini setidak-tidaknya dapat membantu usaha-usaha kerajaan Malaysia dalam menangani pandemik COVID-19 di negara ini selain menjadi contoh yang baik kepada syarikat-syarikat korporat yang boleh turut sama dalam membantu kerajaan,” katanya.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Selasa dilaporkan berkata vaksin COVID-19 jenis Pfizer-BioNTech akan tiba di negara ini pada Ahad ini (21 Feb), menjelang pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan secara berfasa bermula 26 Feb ini.

Muhyiddin akan menerima suntikan vaksin itu pada hari pertama pelaksanaan program berkenaan bersama-sama petugas barisan hadapan.

Fasa pertama program imunisasi itu bermula Februari hingga April melibatkan petugas barisan hadapan, diikuti fasa kedua bermula April hingga Ogos bagi kumpulan berisiko tinggi iaitu warga emas berusia 60 tahun ke atas dan kumpulan rentan dengan masalah morbiditi serta golongan Orang Kurang Upaya.

Fasa ketiga pula melibatkan golongan dewasa berusia 18 tahun ke atas bermula dari Mei ini hingga Februari tahun depan. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button