Berita Utama

Malaysia patut malu kerana ‘segan’ angkat kemegahan bangsa

Lihatlah, Perlembagaan versi BI lebih absah dari bahasa kebangsaan

BANGI, 7 Rabiulawal 1444H, Selasa – Malaysia sepatutnya berasa malu kerana ‘malu-malu’ untuk mengangkat kemegahan bangsa walaupun di negara sendiri.

Sedangkan, banyak negara di Asia seperti Korea Selatan, Jepun dan China – lebih serius mempromosikan budaya bangsa mereka dengan penuh bangga ke serata dunia.

Sehingga ke satu tahap, negara-negara berkenaan dilihat lebih serius berbanding kerajaan Malaysia mempromosikan budaya Melayu sebagai identiti teras watan, kata Pengerusi PEMBELA, Haji Aminuddin Yahaya.

“Kita malu dan takut nak martabat bahasa Kebangsaan dalam negara dalam pelbagai aspek.

“Lihatlah bagaimana Perlembagaan Persekutuan. Versi bahasa Inggeris adalah lebih absah berbanding bahasa kebangsaan sendiri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian merujuk laporan media mengenai langkah kerajaan Korea Selatan membuka pusat kebudayaan negara itu di Malaysia tidak lama lagi.

Mengakui tidak mempertikaikan budaya luar, Aminuddin sebenarnya mengalu-alukan jika rakyat di negara ini mahir dengan pelbagai kebudayaan.

“Tetapi, apakah layak pada masa yang sama kebudayaan sendiri terus dipinggirkan? 

“Lihatlah bagaimana Perdana Menteri dan menteri-menteri diperlekeh menggunakan bahasa Melayu di pentas dunia oleh orang kita sendiri.

“Lihatlah bagaimana Dong Zong dan parti-parti politik Cina fobia dengan tulisan Jawi, padahal ianya termaktub secara spesifik dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.” katanya.

Menurutnya, beliau sudah berulang kali mengusulkan supaya pihak kerajaan memperuntukkan sebuah pusat atau bangunan untuk kebudayaan Melayu yang secara serius mempromosikannya sebagai lambang keizzahan negara.

“Apabila pelancong datang ke Kuala Lumpur, itulah tempat yang wajib dilawati. Cubalah lihat dalam bahan-bahan promosi pelancongan Malaysia.

“Ada apa? Cuba bandingkan dengan negara-negara lain pula. Yang biasa mengembara ke luar negara pasti akan faham apa yang saya perkatakan ini,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button