Berita UtamaDunia

Perkampungan Badwi Palestin di Negev dirobohkan buat kali ke-207

Penduduk Al-Araqeeb hidup dalam keadaan ketakutan yang berterusan

NEGEV, 7 Rabiulawal 1444H, Selasa – Pihak berkuasa negara haram Israel merobohkan semua khemah dan struktur di perkampungan Badwi Palestin, Al-Araqeeb di padang pasir Negev untuk kali ke-207 berturut-turut, semalam menyebabkan penduduk dipindahkan, lapor Pusat Maklumat Palestin.

Menurut sumber tempatan, pasukan polis Israel dan pekerja dari Pihak Berkuasa Pembangunan Badwi – yang bertanggungjawab untuk perobohan – menyerbu kampung itu dan mendatangkan malapetaka ke atas segala-galanya.

Kesannya, berpuluh-puluh warga Badwi, termasuk kanak-kanak kembali kehilangan tempat tinggal dan akan mengalami keadaan cuaca yang teruk di padang pasir untuk seketika, sebelum mereka boleh memiliki rumah baharu semula.

Penduduk Al-Araqeeb hidup dalam keadaan ketakutan yang berterusan kerana menjangkakan kampung mereka akan dirobohkan pada bila-bila masa selepas berjaya membinanya semula. 

Kira-kira 22 keluarga terdiri daripada 110 orang tinggal di Al-Araqeeb.

Dianggarkan 80,000 orang Badwi Palestin membawa kerakyatan Israel, tinggal di beberapa komuniti Negev, yang sering dinafikan perkhidmatan penting, termasuk kemudahan air, elektrik dan pendidikan.

Kampung itu mula diratakan pada Julai 2010 dan setiap kali penduduk Al-Araqeeb membina semula khemah serta rumah kecil mereka, pasukan pendudukan kembali untuk memusnahkannya, kadang-kadang beberapa kali dalam sebulan.

Terletak di padang pasir Negev (Naqab), kampung itu adalah salah satu daripada 51 perkampungan Arab yang ‘tidak diiktiraf’ di kawasan itu dan sentiasa disasarkan untuk dirobohkan sebelum rancangan untuk ‘Judaise the Negev’, dengan membina rumah untuk komuniti Yahudi baharu.  

Jentolak Israel merobohkan segala-galanya, daripada pokok hingga ke tangki air, tetapi penduduk Badwi telah cuba membinanya semula.

Sedangkan, Badwi di Negev digesa mematuhi undang-undang yang sama seperti warga Israel Yahudi. 

Mereka membayar cukai tetapi tidak menikmati hak dan perkhidmatan yang sama seperti orang Yahudi di Israel, dan rejim Zionis berulang kali menolak untuk menghubungkan bandar-bandar ke grid nasional, bekalan air dan kemudahan penting lain. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button