Berita Utama

Tempoh mengundi akan dipanjangkan sejam: Wan Junaidi

Bilangan pusat, saluran mengundi turut akan ditambah

KUALA LUMPUR, 7 Rabiulawal 1444H, Selasa – Tempoh masa mengundi akan dipanjangkan selama sejam, bagi memberi lebih banyak masa kepada orang ramai untuk membuang undi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, itu adalah antara beberapa penambahbaikan yang akan dilakukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam menghadapi PRU15.

Beliau dalam jawapan bertulis Parlimen berkata, langkah-langkah ini akan dilaksanakan bagi memastikan pilihan raya dijalankan dengan cekap, adil dan telus.

“Masa mengundi akan dilanjutkan selama sejam, bermula 8 pagi hingga 6 petang di Semenanjung dan 7.30 pagi hingga 5.30 petang di Sabah dan Sarawak.

“Pelanjutan ini akan memberi lebih banyak masa kepada pengundi untuk membuang undi,” katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Pejuang-Jerlun).

Mukhriz bertanyakan apakah langkah-langkah yang akan diambil oleh SPR bagi memastikan peratusan keluar mengundi adalah tinggi dan menjamin ketelusan proses pengundian semasa PRU15.

Wan Junaidi berkata, bilangan pusat dan saluran mengundi juga akan ditambah dengan mengambil kira Undi18 dan pendaftaran pemilih automatik.

“Ini bagi mengelak sebarang kesesakan di pusat dan saluran mengundi,” katanya seperti dilapor akhbar tempatan.

Lorong khas untuk pengundi berumur 60 tahun ke atas dan orang kelainan upaya (OKU) juga akan disediakan dan dihadkan kepada 450 pengundi, kata Wan Junaidi.

Beliau memaklumkan, SPR juga akan memansuhkan syarat pengundian pos sebelum ini yang dilaksanakan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Dengan pemansuhan syarat ini, warganegara Malaysia yang berada di luar negara dan merupakan pemilih berdaftar layak memohon sebagai pengundi pos,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button