Dunia

WHO beri amaran wabak taun di Haiti kritikal

Tidak tolak kemungkinan angka kematian meningkat

GENEVA, 7 Rabiulawal 1444H, Selasa – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) tidak menolak kemungkinan angka kematian wabak taun di Haiti lebih tinggi daripada yang dilaporkan, bahkan dijangka akan terus meningkat.

Agensi kesihatan itu memberi amaran bahawa pelbagai krisis di negara berkenaan akan merumitkan usaha menangani penularan wabak.

Terdahulu, Haiti memaklumkan sekurang-kurangnya tujuh kematian dilaporkan akibat taun, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap wabak yang kembali menular selepas hampir tiga tahun.

Pelbagai kes yang disyaki telah dikesan di Carrefour-Feuilles di pinggir ibu kota Port-au-Prince, dan di kawasan kejiranan pantai Cite Soleil.

Keadaan di Haiti bertambah buruk dalam beberapa minggu kebelakangan ini berikutan sekatan, kekurangan bahan api, demontrasi, rompakan dan mogok awam.

“Keadaan ini sangat merumitkan usaha tindak balas kemanusiaan. Situasi seperti cepat berlaku dan kemungkinan kes lebih awal tidak dapat dikesan,” kata jurucakap WHO, Christian Lindmeier.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan angka kematian terkini jauh lebih tinggi daripada yang dilaporkan.

“Dengan keadaan kemanusiaan sedia ada, keadaan kebersihan dan kawasan yang dikawal oleh kumpulan yang tiada akses  membawa bantuan, malangnya kita menjangkakan kes akan menjadi lebih tinggi,” katanya. 

Lindmeier berkata, permohonan sedang diusahakan untuk dikemuka kepada kumpulan penyelaras antarabangsa bagi pemerolehan vaksin taun oral.

Bagaimanapun, ketersediaan vaksin global adalah terhad dengan permintaan melebihi bekalan.

Taun adalah jangkitan cirit-birit akut dalam usus kecil yang kadangkala menyebabkan dehidrasi sehingga membawa maut.

Ia biasanya dijangkiti daripada makanan atau air yang tercemar dengan bakteria vibrio cholerae.- Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button