Zahid-Tun M terus bertelagah
Penting PRU15 diadakan sekarang untuk sebuah kerajaan stabil

BANGI, 7 Rabiulawal 1444H, Selasa – Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyangkal dakwaan Tun Dr Mahathir Mohamad kononnya UMNO tidak mempedulikan rakyat, sebaliknya hanya mahu menjadi Perdana Menteri.
Presiden UMNO itu berkata, parti itu pernah membuktikan sebaliknya dengan berlapang dada menyokong Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menjadi Perdana Menteri kelapan.
Menurutnya, tindakan itu dilakukan tanpa sebarang syarat seperti dilakukan Presiden Bersatu terhadap Perdana Menteri kesembilan.
“Keputusan itu dibuat semata-mata demi kelangsungan pentadbiran kerajaan ketika itu yang amat penting kepada rakyat dan negara.
“Individu yang diketahui berulang kali mencerminkan kemahuan diri untuk terus menjadi Perdana Menteri ketika ini adalah Pengerusi GTA, Pengerusi PH dan Pengerusi PN,” bidasnya menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.
Pada masa sama, Ahmad Zahid turut mempertikaikan dakwaan Dr Mahathir bahawa ramai yang akan cedera dan mati sekiranya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan sekarang.
Tegasnya, tiada siapa dapat meramalkan dengan tepat sama ada banjir besar akan berlaku atau tidak.
“Usah memperlekehkan kewibaan pasukan keselamatan kita, malah Jabatan Meteorologi Malaysia menerangkan istilah hujan purata yang diramal berlaku tidak semestinya menyebabkan banjir besar.
“Bagaimanapun itulah jua pentingnya PRU15 diadakan sekarang untuk menyediakan sebuah kerajaan yang stabil dan kukuh bagi menjaga kebajikan rakyat,” katanya.
Sebelum ini, Pengerusi Penaja Gabungan Tanah Air (GTA) mendakwa, PRU15 digesa dilakukan awal kerana Belanjawan 2023 yang akan dibentangkan tidak lama lagi hanya boleh dikemukakan tetapi tidak dapat dibahas oleh parti lawan.
Oleh kerana itu, dakwanya, banyak ‘gula-gula’ akan diberikan supaya rakyat akan menyokong Barisan Nasional (BN)-UMNO.
Situasi itu juga membuatkan parti tersebut mengambil enteng kepentingan rakyat dalam mendepani keadaan genting termasuk bencana banjir yang dijangka akan berlaku tidak lama lagi.
“Jangan peduli bulan November banjir besar, angin kencang. Ramai tak boleh undi. Ramai kehilangan rumah. Ramai ditempatkan di tempat tertentu. Ramai yang akan cedera dan mati.
“Okaylah itu masalah mereka. Kerajaan akan tentukan penyokong UMNO boleh undi. Bantuan wang dan makanan boleh diberi,” dakwanya.