1.9 juta kenderaan dijangka guna lebuh raya sempena Maulidur Rasul
Pengguna dinasihat rancang perjalanan, pastikan kenderaan baik: PLUS

BANGI, 8 Rabiulawal 1444H, Rabu – Plus Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan kira-kira 1.9 juta kenderaan akan menggunakan lebuh raya bermula Jumaat ini sempena cuti sambutan Maulidur Rasul.
Sehubungan itu, pengguna lebuh raya berkenaan digesa merancang perjalanan mereka bagi menghadapi kemungkinan berlakunya kesesakan yang memanjangkan tempoh perjalanan.
Ketua Kecemerlangan Operasi PLUS, Mohd Yusuf Abdul Aziz berkata, jumlah itu adalah lonjakan daripada 1.7 juta kenderaan sehari pada hari-hari biasa.
“Sejak beralih ke fasa endemik, PLUS telah merekodkan jumlah trafik harian seperti mana tempoh pra-pandemik iaitu 1.7 juta kenderaan setiap hari pada hari-hari biasa.
“Pada ketika ini, jumlah tersebut melonjak kepada 1.9 juta kenderaan pada hujung minggu dan kami menjangkakan ia berterusan ketika cuti hujung minggu ini dan sambutan Maulidur Rasul di mana pelanggan lebuh raya akan mengambil kesempatan cuti selama tiga hari,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Oleh itu, beliau menasihatkan supaya pengguna yang menggunakan lebuh raya pada hujung minggu ini supaya membuat persediaan dan memastikan kenderaan mereka berada dalam keadaan baik bagi menghadapi kemungkinan kesesakan akibat lonjakan trafik.
“Sebelum memasuki lebuh raya, pelanggan dinasihatkan untuk menambah nilai kad Touch ‘n Go dan e-Wallet (bagi mereka yang menggunakan RFID) dan memastikannya sentiasa mempunyai baki yang mencukupi dan tambah nilai sebelum memulakan perjalanan untuk mengelakkan kesulitan ketika keluar di plaza tol.
“Dengan memuat turun Aplikasi PLUS, pelanggan lebuh raya boleh merancang perjalanan dan mendapatkan maklumat trafik terkini di lebuh raya.
“Sebagai alternatif, PLUS berkata, pelanggan boleh mengikuti laporan trafik menerusi Twitter @PLUSTrafik, talian PLUSLine 1800-88-0000, Chatbot PUTRI serta papan tanda elektronik (VMS) di lokasi-lokasi terpilih. Pelanggan juga disaran menggunakan Aplikasi Waze atau Google Map,” katanya.