Berita Utama

16,163 saman dikeluarkan kerana gagal patuhi lampu isyarat

13 individu ditahan miliki waran tangkap saman trafik

BANGI, 8 Rabiulawal 1444H, Rabu – Sejumlah 16,163 saman dikeluarkan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) atas kesalahan tidak mematuhi lampu isyarat sepanjang operasi khas pada 15 hingga 30 September lalu.

Saman dikeluarkan di bawah Kaedah 17, Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (kesalahan tidak mematuhi lampu isyarat) yang membabitkan motosikal (8,211), kereta (6,083), lori (528), bas (22) dan lain-lain kenderaan (1,055).

Setiausaha Polis Malaysia PDRM, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, sepanjang operasi khas lampu isyarat merah itu juga, sejumlah 71,069 kenderaan telah diperiksa dan 24,276 saman dikeluarkan bagi lain-lain kesalahan.

“Dalam operasi berkenaan juga, PDRM telah membuat enam tangkapan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987, lapan tangkapan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan 13 tangkapan ke atas individu yang memiliki waran tangkap saman trafik.

“Sebanyak 75 buah kenderaan pelbagai jenis telah disita di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, PDRM memandang serius sikap dan trend pengguna jalan raya yang mewujudkan risiko kemalangan ekoran tidak memberhentikan kenderaan di lampu isyarat.

Justeru, orang ramai dinasihat supaya sentiasa berhati-hati dan mematuhi isyarat lalu lintas yang telah ditetapkan bagi menjamin keselamatan semua pengguna jalan raya.

Terdahulu, operasi telah dijalankan di 1,659 lokasi seluruh negara dengan kekuatan 152 pegawai kanan polis dan 1,389 pegawai rendah.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button