Dunia

Israel tutup lintasan Gaza sempena cuti Yahudi

Pengecualian hanya dibenarkan untuk kes kemanusiaan

GAZA, 8 Rabiulawal 1444H, Rabu – Pasukan pendudukan negara haram Israel akan mengenakan penutupan ke atas lintasan komersial Karm Abu Salem (Kerem Shalom) di Semenanjung Gaza sempena cuti perayaan Yahudi.

Pengumuman itu dibuat tentera Israel di tengah-tengah peningkatan keganasan di bandar-bandar yang dijajah di Tebing Barat apabila seorang askar Zionis cedera dalam satu insiden tembakan berhampiran pintu masuk ke Nablus.

Penutupan Yom Kippur akan bermula pada tengah malam Selasa dan berlangsung sehingga 11.59 malam Rabu.

Tentera IDF dalam satu kenyataan lain memaklumkan bahawa penutupan itu akan dikenakan semula pada Ahad jam 4 petang dan ditarik semula pada tengah malam keesokannya.

Pengecualian kepada penutupan itu hanya dibenarkan untuk kes kemanusiaan dan kes tertunggak lain, kata tentera Israel.

Bagaimanapun, ia masih memerlukan kelulusan Kementerian Pertahanan Israel kepada Palestin yang dikenali sebagai COGAT.

Penutupan adalah amalan biasa ketika cuti Yahudi, yang didakwa tentera Israel kononnya sebagai langkah pencegahan.

Ia termasuk penutupan semua jalan utama, penubuhan pusat pemeriksaan tentera serta menutup semula lintasan di sekitar Semenanjung Gaza – yang mengetatkan lagi pengepungan selama 15 tahun.

Tindakan dan penindasan seumpama itu didakwa perlu bagi memastikan perayaan Yahudi berada dalam keadaan aman. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button