Berita Utama

PAS tentukan rakan kerjasama pada PRU15 Sabtu ini

Mesyuarat juga akan bincang ketetapan bubar DUN di tiga negeri

PUTRAJAYA, 8 Rabiulawal 1444H, Rabu – Persoalan mengenai parti mana yang bakal jadi pilihan PAS untuk bekerjasama mendepani Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan terjawab Sabtu ini.

Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad berkata, ia akan ditentukan dalam mesyuarat pimpinan tertinggi parti nanti.

Katanya, mesyuarat itu akan memastikan rakan kerjasama PAS pada PRU15 nanti.

“Nanti Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Takiyuddin Hassan akan keluarkan kenyataan rasmi. Saya difahamkan keputusannya hujung minggu ini.

“Mesyuarat mengenainya akan berlangsung Sabtu ini di Kuala Lumpur,” katanya seperti dilapor portal tempatan.

Pada masa sama, Idris berkata, mesyuarat itu juga akan membincangkan ketetapan untuk membubar Dewan Undangan Negeri (DUN) di tiga negeri iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Namun, PAS dijangka akan tetap meneruskan strategi menyatupadukan kerjasama Muafakat Nasional (MN) dengan Perikatan Nasional (PN).

Idris berkata, PAS kekal mahu bekerjasama dengan PN dan UMNO.

“Kita mahu dua-dua belah (kedua-duanya),” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Politik Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, Fairuz Hafiizh Othman berkata, matlamat utama PAS adalah jelas iaitu menghalang Pakatan Harapan (PH) mendominasi dan DAP berkuasa. 

“PAS istiqamah dengan penyatuan Melayu Islam dan bukan Islam yang tidak ekstrem. Pernyataan ini dipertegaskan dalam muktamar. Menyeru supaya usaha menghidupkan Muafakat Nasional bukan bererti mematikan Perikatan Nasional.

“Ada yang keliru, menghidupkan MN dilihat mematikan Perikatan Nasional (PN) sedangkan penegasan PAS adalah penyatuan keduanya. Tidak berubah dan belum pernah berubah,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button