Dunia

Tiada ambulans, paramedik di stadium ketika rusuhan bola sepak berlaku

Hanya permintaan untuk sediakan vaksin penggalak COVID-19

MALANG, 8 Rabiulawal 1444H, Rabu – Tiada permintaan untuk paramedik dan ambulans bersiap sedia untuk perlawanan bola sepak yang berakhir dengan kekecohan di Stadium Kanjuruhan, Malang, Jawa Timur pada Sabtu lalu.

Ketua agensi kesihatan Malang, Wiyanto Wijoyo berkata, menjadi kebiasaan di Indonesia apabila terdapat acara besar yang menarik orang ramai seperti perlawanan bola sepak, agensi kesihatan tempatan akan diminta menghantar beberapa ambulans untuk bersiap sedia.

“Biasanya begitu berdasarkan permintaan polis atau jawatankuasa penganjur perlawanan.

“Tetapi permintaan yang kami terima daripada polis kabupaten Malang adalah supaya vaksin (COVID-19) ada (ketika perlawanan),” katanya.

Beliau berkata, permintaan itu bertujuan menggalakkan orang ramai mendapatkan vaksin COVID-19 kerana Indonesia sedang cuba meningkatkan kadar pengambilan suntikan penggalak.

Menurut Wijoyo, mungkin terdapat ambulans dari sebuah hospital swasta di stadium itu apabila perlawanan antara Arema FC dan Persebaya Surabaya berakhir dengan rusuhan yang mengakibat 131 nyawa terkorban termasuk 32 kanak-kanak.

Bagaimanapun, beliau tidak dapat mengesahkan perkara berkenaan.

Katanya, tidak menjadi masalah jika institusi swasta membantu namun permintaan itu sepatutnya dibuat juga kepada agensi kesihatan berkenaan.

Wijoyo berkata, sebaik perlawanan berakhir dengan huru-hara, agensi itu telah dimaklumkan dan segera mengerahkan lapan ambulans ke stadium.

“Ambulans membantu memindahkan mangsa dan mereka tiba sebelum tengah malam,” katanya. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button