WAFIQ, I-Medik lancar Modul Bantuan Asas HealHer
Beri pengetahuan tambahan kesihatan mental terutama wanita

Oleh Zuhayati Yazid
NILAI, 8 Rabiulawal 1444H, Rabu – Pertubuhan Ikatan Wanita Antarabangsa bagi Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (WAFIQ) dengan kerjasama Pertubuhan Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) buat julung kali melancarkan Modul Bantuan Asas HealHer bagi memberi pengetahuan tambahan tentang kesihatan mental terutama wanita.
Presiden WAFIQ, Prof Dr Rafidah Hanim Mokhtar berkata, modul berkenaan digubal oleh enam pakar untuk membantu melengkapi usaha sedia ada oleh pelbagai pihak dan kementerian dalam menangani isu kesihatan mental wanita khususnya selepas pandemik COVID-19.
Dalam pada itu, Ketua Penggubal Modul HealHer, Dr Rozanizam Zakaria berkata, tujuan modul bantuan bukan sahaja untuk merawat penyakit mental tetapi sebagai langkah awal di lapangan membantu golongan rentan.
“Bantuan awal ini perlu diberikan supaya dapat mengelakkan keadaan menjadi parah sehingga membawa kepada kemurungan.
“Kalau nak mengharap pakar psiaktri yang ada di negara ini kira-kira 350 orang semestinya tidak mampu, jadi kita kongsikan perkara asas yang boleh dilakukan oleh mereka yang sering berjumpa individu-individu berisiko itu dan membantu daripada menjadi kemurungan.
“Ini juga dijadikan panduan kepada pihak lain seperti NGO, agensi yang sering berjumpa individu bermasalah ini dapat memberikan bantuan awal dan mencegahnya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Perasmian Modul HealHer Bantuan Asas Psikologi Untuk Wanita, di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Presiden I-Medik, Datuk Dr Mohamed Hatta Mohamed Tarmizi.
Modul HealHer akan menjelajah ke lima zon seperti Alor Star, Kuala Terengganu, Johor bahru dan Kota Kinabalu bagi keseluruhan program ini dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Dalam pada itu, Dr Mohamed Hatta menyambut baik platform yang diberikan WAFIQ dalam menyediakan modul berkenaan dan berhasrat untuk mengembangkan lagi usaha dengan melibatkan isu-isu kesihatan lain
“Kita harap i-Medik dapat berkecimpung dalam menyediakan modul bukan sahaja tumpuan kepada kesihatan mental dan kesihatan wanita tetapi juga memberi tumpuan kepada masalah lelaki dan kesuburan,” katanya.