Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita Utama

Demi perjuangan Islam, ISMA beranikan diri tiup semangat kebangkitan Melayu

Betulkan fahaman asabiyah tak bercanggah syariat

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 9 Rabiulawal 1444H, Khamis – Asabiyah Melayu bukan bermaksud berasa bangga dengan keturunan, warna kulit, bahasa atau lain-lain sebagaimana naratif yang menggambarkannya sebagai fanatik atau negatif.

Sebaliknya, asabiyah Melayu membawa maksud perjuangan bangsa Melayu, mempertahankan hak dan peranan orang Melayu sebagai bangsa Islam dalam membawa hidayah serta petunjuk, di samping memimpin manusia kepada kebaikan dan kebenaran.

Amir gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman berkata, Melayu adalah mereka yang beragama Islam, mengamalkan syariah Islam, menutur bahasa Melayu dan mengamalkan adat istiadat Melayu selari dengan syariat Islam. 

Ini sekali gus menunjukkan kesepaduan antara Melayu dan Islam telah terbukti sejak sekian lama, katanya.

“Dari segi sejarah, ringkasnya semua kaum, – Tuhan bagi dia tanah. India ada tanah, China ada tanah dan begitu juga bangsa lain ada tanah air mereka. 

“Jadi Melayu juga ada tanah air, kita ada sempadan kedaulatan. Kita bangsa Melayu ada identiti. Maka, tak mungkin orang yang memperjuangkan Islam tak mahu mengangkat agenda Melayu. 

“Itu tidak mungkin berlaku. Itu naratif yang kita nak orang faham,” katanya dalam program Dimensi sempena Sambutan Jubli Perak 25 Tahun ISMA yang disiarkan secara langsung di TV Pertiwi, hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, ISMA mahu meniupkan semula semangat kebangkitan, keyakinan bahawa isu Melayu ini perlu diangkat semua generasi.

“Kita secara terang-terangan menegaskan asabiyah tidak bercanggah dengan syariat Islam. Bangsa Melayu sebagai penduduk asal di Tanah Melayu, merekalah sepatutnya diletakkan tanggungjawab memikul dan mengembalikan kedaulatan Islam. 

“Maka, membetulkan fahaman tentang asabiyah adalah prasyarat ke arah kita  matlamat mengangkat balik perjuangan Islam di tanah air kita,” katanya.

Ketika ditanya mengenai slogan ‘Melayu Sepakat Islam Berdaulat’ yang dilancarkan ISMA sejak 2010, Ustaz Abdullah menjelaskan, ketika itu negara berdepan satu situasi yang sangat mengancam masa depan bangsa Melayu. 

Waktu itu, dakwah atau pun seruan liberalisme, sekularisme telah menguasai minda masyarakat. 

“Media proliberal dominan ketika itu. Sehingga pejuang hak asasi kesamarataan mendominasi, yang mana isu Melayu diletakkan pada sudut yang tidak berani diperjuangkan oleh orang Melayu sendiri. 

“UMNO yang sifatnya Melayu pun tak berani cakap pasal Melayu. PAS pula imej dia lebih kepada Islam. Bila cakap pasal Melayu jadi seperti fahaman asabiyah pula. 

“Jadi ketika itu, PAS tak boleh nak cakap mengenai Melayu, UMNO pun tak boleh nak cakap tentang Melayu,” katanya.

Ustaz Abdullah menjelaskan, ISMA melihat di pentas pemikiran wacana tidak ada lagi yang berani meletakkan agenda Melayu di tempatnya atau di tempat asal. 

“Lalu ISMA beranikan diri. Semua itu kerana tuntutan dakwah secara siasah syariah. Matlamat kita mahu tegakkan Islam didukung dengan bangsa yang mantap,” katanya mengulas awal penubuhan ISMA dan hala tujunya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button