Berita Utama

Menteri PN utus warkah kepada Agong, bantah PRU15 tahun ini

Kebajikan rakyat adalah perkara penting yang perlu diberi tumpuan

BANGI, 9 Rabiulawal 1444H, Khamis – Kira-kira 12 menteri dari Perikatan Nasional (PN) mengutuskan surat kepada Yang di-Pertuan Agong berhubung pendirian gabungan itu tidak mahu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan tahun ini.

Mengesahkan perkara itu, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, kebajikan rakyat adalah perkara penting yang perlu diberikan tumpuan ketika ini.

“Saya boleh sahkan memang kami menteri daripada PN sudah mengutus warkah kepada Yang di-Pertuan Agong memohon supaya tidak dilaksanakan PRU pada masa terdekat.

“Apa yang paling penting kita dalam kerajaan ingin menumpukan kepada perkara berkaitan kebajikan rakyat,” katanya seperti dipetik akhbar tempatan, hari ini.

Dengan mengambil kira ketidaksesuaian masa, menteri PN dalam pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengutuskan warkah berkenaan kepada Yang di-Pertuan Agong, memohon dipertimbangkan supaya PRU-15 tidak diadakan dalam masa terdekat, jika permohonan untuk itu dipersembahkan kepada baginda.

Malah, Perdana Menteri juga mungkin sudah maklum mengenai warkah diutuskan selepas perkara itu dilaporkan pihak media.

“Ini adalah pendirian menteri PN. Itu pendirian parti,” kata Radzi.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button