Berita UtamaIstimewa

UMNO nak tunjuk hero konon mereka penentu politik

Sengaja mahu ambil kesempatan atas kesukaran rakyat

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 9 Rabiulawal 1444H, Khamis – UMNO sebenarnya mahu menunjukkan kepada umum, kononnya parti itu penentu politik sehingga sanggup mendesak mempercepatkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tanpa memikirkan kesusahan rakyat.

Malah, UMNO juga seakan mahu membuktikan merekalah parti besar dan hero yang boleh menentukan segala-galanya, kata Presiden BERJASA, Ustaz Haji Zamani Ibrahim.

“Mungkin pemimpin UMNO terlupa hakikatnya Malaysia sebuah negara berdaulat tertakluk kepada Perlembagaan dan peruntukan yang ada.

“Di situ UMNO tersilap, mereka mahu nampak parti hebat tapi rakyat pula meletakkan UMNO sebagai gelojoh dan rapuh.

“…yang hanya pentingkan agenda parti selain tidak mendahului kepentingan rakyat,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Mengulas lanjut, Ustaz Zamani berkata, desakan UMNO untuk berkeras mengadakan PRU adalah kerana mahu mengambil kesempatan di atas kesukaran rakyat.

“UMNO memang tahu masyarakat sukar untuk keluar mengundi dan peluang itu akan digunakan sepenuhnya supaya peratus keluar undi kurang. Ini peluang mereka untuk menang.

“Perkara ini telah terbukti berlaku ketika Pilihan Raya Negeri Johor dan Melaka sebelum ini, berikutan ramai tidak keluar mengundi sehingga menyebabkan parti itu menang,” katanya.

Ustaz Zamani juga berpandangan, UMNO sepatutnya matang dan tidak terlalu mendesak selain memberikan sepenuh kepercayaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk memimpin.

Ini tidak, desakan UMNO seolah-olah menjatuhkan reputasi dan kredibiliti Perdana Menteri sebagai pemimpin utama pentadbiran negara.

“UMNO memang berwatak begitu, tidak hormatkan sesiapa, sepatutnya mereka tidak mendesak dan memaksa Perdana Menteri mendapat perkenan baginda untuk membubarkan Parlimen dalam keadaan terburu-buru,” katanya.

Ismail Sabri dijangka menghadap Al-Sultan Abdullah, petang ini berhubung isu Bajet 2023 selain khabar angin kononnya memohon perkenan baginda membubarkan Dewan Rakyat.

Sebelum ini Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memutuskan pendirian supaya PRU15 tetap diadakan tahun ini juga.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Back to top button