Berita Utama

Perpaduan orang Melayu penting, jika berpecah bawa kehancuran

Sultan Selangor dukacita baca komen keterlaluan netizen

KUALA SELANGOR, 10 Rabiulawal 1444H, Khamis – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa kecewa baginda apabila membaca komen-komen keterlaluan dalam kalangan netizen di media sosial, yang mengeluarkan ayat-ayat berunsur fitnah, cacian dan hasad dengki.

Sultan Sharafuddin bertitah, lebih mengecewakan apabila ayat-ayat penghinaan itu pula disokong oleh netizen yang lain tanpa usul periksa dan jika tidak dibendung dan ditangani dengan bijak dari semasa ke semasa, ia dikhuatiri akan merosakkan pemikiran masyarakat khususnya generasi muda.

“Sejak kebelakangan ini, kemunculan gejala fitnah-fitnah dan berita-berita palsu yang semakin berleluasa telah menyebabkan ketegangan di antara kumpulan-kumpulan tertentu dalam masyarakat kita.

“Beta tidak mahu gejala-gejala seumpama ini terus menular sehingga boleh menjejaskan keharmonian rakyat dan kekuatan perpaduan untuk jangka masa panjang,” titah baginda.

Sultan Selangor turut menekankan perpaduan dalam kalangan orang Melayu amat penting dan perlu dipelihara demi masa depan generasi yang akan datang kerana umat yang berpecah akan membawa kehancuran kepada negara.

Justeru, Sultan Selangor dalam titahnya menyeru seluruh orang Melayu untuk terus merapatkan saf, bersatu-padu, melupakan segala sengketa dan perselisihan faham serta mula memikirkan untuk bangkit semula menjadi satu bangsa yang kuat, bermaruah dan bermatlamat, demi kepentingan agama, bangsa dan negara.

“Beta mahu semua rakyat beta dapat hidup di negeri beta dalam keadaan selesa, bersatu-padu, harmoni dan menikmati kekayaan negeri ini secara adil dan saksama,” titah baginda. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button