Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita Utama

Bajet 2023 usaha realistik pemulihan ekonomi

Sambut baik peruntukan Dana Pembiayaan Infrastruktur Pelancongan

KUALA LUMPUR,  11 Rabiulawal 1444H, Sabtu – Pembentangan Bajet 2023 hari ini dilihat realistik dalam usaha kerajaan memulihkan semula ekonomi negara pasca pandemik COVID-19 dengan mengutamakan aspek kebajikan dan kepentingan rakyat secara keseluruhan.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, belanjawan tahun depan itu juga dilihat mencakupi semua spektrum golongan rakyat termasuk golongan muda, mahasiswa, belia, wanita, warga emas Orang Asli, Orang Kurang Upaya, peniaga kecil dan penjaja serta Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).

“Sebagai negeri yang berasaskan pelancongan, kerajaan negeri Melaka amat menyambut baik penyediaan Dana Pembiayaan Infrastruktur Pelancongan berjumlah RM1 bilion, yang bertujuan untuk pemulihan sektor perhotelan, pembaharuan bandar dan pemuliharaan warisan,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Selain itu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, melahirkan kesyukuran dan berterima kasih kepada kerajaan Persekutuan atas peruntukan yang diberikan kepada negeri itu dengan menambah baik jaringan lebuh raya ke Pengerang melalui pembinaan memotong di Senai Desaru Expressway.

Beliau berkata, kerajaan Persekutuan juga bersetuju melaksanakan projek menaik taraf Lebuhraya Utara Selatan di Senai Utara-Pandan, Johor Bahru daripada empat kepada enam lorong dengan kos RM510 juta.

Sementara itu, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, menyeru seluruh jentera kerajaan negeri, sektor swasta dan rakyat agar mengambil peluang dan manfaat daripada Bajet 2023.

Beliau berkata, belanjawan tersebut memberikan perhatian serius kerajaan untuk sektor pertanian khususnya  bagi membasmi kemiskinan, melindungi pesawah padi, meningkatkan pengeluaran hasil pertanian dan sebagainya adalah sangat tepat selain menangani isu sekuriti makanan di negara ini. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button