Berita Utama

Jakim harap Bajet 2023 perkukuh lagi kedudukan Islam

Peruntukan RM1.5 bilion kesungguhan martabat syiar Islam

BANGI, 11 Rabiulawal 1444H, Sabtu – Peruntukan berjumlah RM1.5 bilion untuk pengurusan dan pembangunan hal ehwal Islam membuktikan komitmen kerajaan meningkatkan syiar Islam negara ini.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) selaku agensi penyelaras pengurusan hal ehwal Islam menyambut baik pembentangan Bajet 2023 oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, semalam.

Ketua Pengarahnya, Datuk Hakimah Mohd Yusoff berkata, Jakim menghargai keprihatinan kerajaan menyediakan peruntukan RM1.5 bilion khusus untuk manfaat pengurusan dan pembangunan hal ehwal Islam negara ini.

“Peruntukan ini adalah untuk pengurusan dan pelaksanaan program keseluruhan agensi agama di bawah Jabatan Perdana Menteri seperti Jakim, Jawhar, Jawi, Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan dan lain- lain.

“Sebahagian besar peruntukan ini adalah bagi tujuan pendidikan Islam di seluruh negara iaitu pembiayaan elaun kepada 35,000 guru KAFA, 5,000 guru takmir serta imbuhan kepada 14,373 imam di masjid kariah di negeri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan atas peruntukan sebanyak RM150 juta yang disediakan kerajaan untuk penyelenggaraan fasiliti institusi pendidikan di bawah penyelarasan Jakim seperti sekolah agama rakyat, pusat tahfiz, pondok dan premis KAFA.

“Bagi pihak golongan agamawan seramai 72,000 orang yang terdiri daripada guru KAFA, guru takmir, imam, bilal, siak, noja dan marbut, Jakim juga menzahirkan ucapan terima kasih atas bantuan khas sebanyak RM500 yang melibatkan peruntukan sebanyak RM36 juta.

“Semoga peruntukan ini mampu memperkasakan lagi umat Islam di negara ini serta dapat memperkukuhkan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button