Berita Utama

Kerajaan mesti pastikan Bajet 2023 tiada ketirisan

Sambut baik kenaikan bantuan awal persekolahan, RMT

BANGI, 11 Rabiulawal 1444H, Sabtu – Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru) menyambut baik langkah kerajaan meningkatkan kadar bantuan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) bagi murid seluruh negara.

Presidennya, Ustaz Mohd Azizee Hasan berkata, ada beberapa tuntutan dalam bajet dipenuhi pihak kerajaan seperti yang kerap dibangkitkan terutama isu RMT.

“Cadangan ini dalam agenda yang saya telah siapkan untuk mesyuarat bersama bahagian sumber KPM yang ditangguhkan tetapi Alhamdulillah kadar RMT dinaikkan.

“Begitu juga isu bantuan awal persekolahan yang telah ditambah baik kepada RM150 untuk semua murid tanpa mengira had pendapatan ibu bapa.

“Isu penyelenggaraan sekolah sedia ada dan sekolah daif serta pembinaan sekolah baharu juga ditunaikan,” katanya menerusi hantaran pada akaun Facebooknya hari ini.

Pada masa sama, beliau turut merakamkan merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan kerana memberikan peruntukan terbesar kepada sektor pendidikan iaitu RM55.6 bilion.

“Apa yang penting bajet ini perlu dinikmati oleh rakyat terbanyak serta proses audit forensik perlu telus agar tidak ada kebocoran dan ketirisan,” tegasnya.

Bajet 2023 dibentangkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz semalam menyaksikan sektor pendidikan terus diutamakan dengan peruntukan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) iaitu sebanyak RM55.6 bilion.

Antara peruntukan disalurkan adalah RM825 juta untuk bantuan awal persekolahan dan RM777 juta bagi program RMT yang akan memanfaatkan 800,000 murid serta 7,300 pengusaha kantin.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button