Pendapat

Peningkatan jenayah Islamofobia cemar imej positif Kanada

Imej rakyat yang murah hati, sopan, memaafkan semakin terhakis

TIADA isu perkauman di Kanada, frasa yang sering digunakan bagi memberitahu betapa negara itu bertoleransi dan sentiasa menyenangkan dalam pelbagai perkara.

Bagaimanapun, siri jenayah kebencian, pembunuhan dan perkauman terhadap etnik mula menyebabkan imej sempurna Kanada semakin terhakis, lapor Arab News.

Laman web rasmi kerajaan pernah menyatakan, kepelbagaian dan kebersamaan adalah identiti Kanada, malah menjadi sumber kepada kekuatan sosial dan ekonomi.

Dunia melihat rakyat Kanada dengan positif, mereka dikatakan mesra, murah hati, sopan, sentiasa berkata tolong, berterima kasih dan memaafkan.

Sehinggakan organisasi yang berpangkalan di London, Legatum Institute menamakannya sebagai negara paling bertoleransi pada tahun 2015.

Bagaimanapun, imej itu semakin menghilang dengan peningkatan isu-isu melibatkan tindakan diskriminasi, Islamofobia dan perkauman.

Sebagai contoh, beberapa minggu lalu enam remaja Kanada didakwa dengan pelbagai jenayah kebencian selepas menyerang seorang pelarian Syria.

Serangan yang direkodkan dan dikongsi meluas di media sosial itu berlaku pada 8 September lalu di Gloucester High School, Ottawa.

Menerusinya, seorang pelarian Syria berusia 15 tahun dipaparkan dikepung beberapa remaja sebelum ditolak ke lantai dan dipukul serta disepak.

Serangan itu bukan perkara terpencil, ini kerana dekad lalu mempelihatkan bagaimana sikap tidak bertoleransi semakin meningkat terhadap umat Islam.

Untuk pengetahuan, Kanada memiliki polisi menerima pelarian, dengan satu perlima daripada populasinya merupakan pendatang.

Menurut Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR), Kanada sudah menerima masuk lebih sejuta pelarian sejak tahun 1980.

Bagaimanapun, bukan semua warganegaranya menerima kehadiran pelarian dengan tangan terbuka terutama yang datang dari Timur Tengah.

Dalam bancian dijalankan Angus Reid Institute pada Mei 2022 mendapati, hanya 35 peratus rakyat Canada menyokong kemasukan lebih ramai pelarian dari Afghanistan.

Bancian itu juga mendapati, hanya 31 peratus sahaja menyokong kemasukan pelarian Syria.

Pada tahun 2014, sekumpulan pelajar muslim di Ontario Queen University diserang dengan kata-kata perkauman oleh individu tidak dikenali.

Dua tahun kemudian, seorang pelajar dari Iran yang menuntut di Western University diserang dengan panggilan nama ‘Arab’.

Sementara itu, pada Januari 2017, lelaki bersenjata menyerang Islamic Cultural Center di Quebec sehingga menyaksikan enam terbunuh dan 19 lagi cedera.

Malah, Kanada Statistik dalam kajian pada Ogos 2022 mendedahkan, bilangan kes serangan Islamofobia meningkat daripada 84 kes pada 2020 kepada 144 kes pada tahun berikutnya. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button