Dunia

Dana AS$2 bilion untuk bantu banjir Pakistan: Bank Dunia

Untuk laksana semula pembinaan infrastruktur, bantu mangsa banjir

KARACHI, 12 Rabiulawal 1444H, Ahad – Bank Dunia mengumumkan dana berjumlah AS$2 bilion untuk melaksanakan semula pembinaan infrastruktur dan membantu berjuta-juta mangsa banjir di seluruh Pakistan.

Pengarah Negara Bank Dunia Najy Benhassine mengumumkan keputusan itu semasa mengadakan pertemuan dengan Menteri Kewangan Pakistan Ishaq Dar di Islamabad pada Sabtu.

Beliau berkata peruntukan itu daripada projek pembiayaan sedia ada untuk “operasi kecemasan” bagi kawasan yang dilanda banjir, lapor Agensi Anadolu.

Pengumuman itu dibuat beberapa hari selepas Bank Pembangunan Asia mengumumkan AS$2.3 billion hingga AS$2.5 bilion sebagai “sokongan bantuan banjir” bagi membantu Pakistan.

Negara Asia Selatan itu dilanda banjir terburuk yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Menurut kenyataan Kementerian Kewangan, kira-kira AS$1.5 bilion daripada jumlah itu akan disalurkan ke kawasan yang dilanda banjir tahun ini.

Hujan lebat berbanding kebiasaan yang mencetuskan banjir luar biasa, mengorbankan hampir 1,700 orang di seluruh Pakistan sejak pertengahan Jun dan membanjiri satu pertiga negara itu.

Kemusnahan besar itu juga dijangka menelan belanja AS$30 bilion untuk kerja-kerja baik pulih, menurut anggaran kerajaan.

Musim tengkujuh dan banjir besar telah merosakkan kira-kira 45 peratus kawasan tanaman negara, menimbulkan ancaman serius kepada keselamatan makanan negara. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button