Berita Utama

Ketelusan Bajet 2023 wajar dipantau, elak ketirisan

Akibatkan kerugian jutaan ringgit melalui pembaziran dan penyalahgunaan

BANGI, 12 Rabiulawal 1444H, Ahad – Ketelusan dan akauntabiliti terhadap setiap ringgit yang diperuntukkan dalam pembentangan Bajet 2023 wajar dipantau untuk mencapai sasaran diperuntukan.

Setiap tahun kebimbangan itu disuarakan kerana pasti akan berlaku ketirisan serius dan perbelanjaan berlebihan oleh beberapa jabatan kerajaan yang menerima peruntukan, kata aktivis sosial, Tan Sri Lee Lam Thye.

“Hampir setiap tahun, Ketua Audit Negara melaporkan kejadian apabila terdapat ketirisan serius dan perbelanjaan berlebihan oleh beberapa jabatan kerajaan.

“Ini sekali gus mengakibatkan kerugian berjuta-juta ringgit melalui pembaziran dan penyalahgunaan.

“Tetapi tidak banyak yang didengari selepas itu mengenai langkah yang diambil untuk menghukum pesalah atau untuk memastikan tidak ada pengulangan penyelewengan rasmi,” katanya dalam kenyatan, hari ini.

Lam Thye yang juga Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat berkata, beberapa Ahli Parlimen berpandangan, jawatankuasa khas wajar ditubuhkan bagi memastikan semua isu yang dibangkitkan ditangani dengan segera.

“Jawatankuasa itu dicadangkan mengenal pasti individu yang memainkan peranan dalam salah urus kewangan, tetapi tiada sebarang maklum balas,” katanya lagi.

Tegas beliau, sekiranya pihak berkuasa yang berkenaan terus lalai dalam menguruskan dana awam, habuan yang dijanjikan dalam belanjawan negara tidak semua akan pergi kepada penerima.

Namun, katanya, hanya akan berakhir kepada pegawai yang tamak dalam perkhidmatan awam.

“Oleh itu, semasa Bajet 2023 dibentangkan, ia juga mesti memastikan wujudnya kebertanggungjawaban dan ketelusan yang maksimum.

“Maksudnya, setiap ringgit diperuntukkan untuk pelbagai kementerian, jabatan dan agensi mesti dibelanjakan untuk tujuan yang dihasratkan.

“Terdapat juga keperluan mendesak untuk mengatasi kerenah birokrasi bagi mendapatkan kelulusan daripada pihak berkuasa untuk pelbagai tujuan dan memudahkan prosedur apabila memberi bantuan kepada kumpulan yang layak,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button