Berita Utama

PN mungkin calonkan semula penyandang kerusi Perlimen, DUN pada PRU15

Pengekalan itu perlu berdasarkan prinsip calon boleh menang

IPOH, 12 Rabiulawal 1444H, Ahad Pengerusi  Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata gabungan itu berkemungkinan mengekalkan penyandang kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai calon parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu bagaimanapun berkata pengekalan itu perlu berdasarkan prinsip calon boleh menang.

“Kemungkinan di satu dua tempat (calon Parlimen dan DUN) akan dinilai semula di peringkat pimpinan tertinggi Perikatan Nasional. Itu kita akan teliti dan membuat keputusan. Namun secara prinsipnya adalah soal calon yang boleh menang,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat PN Negeri Perak, hari ini.

Hadir sama Timbalan Presiden Bersatu yang juga Pengerusi PN Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Setiausaha Agung PN Datuk Seri Hamzah Zainudin, Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria serta Pengerusi Gerakan Perak Datuk See Tean Seng.

Sementara itu, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, pimpinan tertinggi PN bersetuju memberi ruang kepada kepimpinan parti di peringkat negeri untuk memberikan input kandungan manifesto PN mengikut keperluan negeri masing-masing.

“Sebagai contoh, sekiranya PN Perak mempunyai beberapa perkara yang dirasakan wajar dimasukkan ke dalam manifesto negeri, kita akan masukkan,” katanya.- Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button