Berita Utama

PRU15: PH mahu rampas kembali kerajaan Perak

'Kita kena buat yang terbaik supaya menang kali ini': Rafizi

BANGI, 12 Rabiulawal 1444H, Ahad – Pakatan Harapan (PH) memberi gambaran untuk mengambil alih kerajaan negeri Perak selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Jentera parti akan melakukan yang terbaik untuk menawan semula negeri itu melalui kemenangan di beberapa kerusi yang disasarkan, tegas Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli.

“Kita ada kerusi-kerusi penting di sini. PKR akan bertanding balik di Parlimen Tapah (termasuk) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning dan Chenderiang.

“Kita kena buat yang terbaik supaya menang kali ini. Kalau pun tidak menang, tidak mengapa tetapi pastikan ada perubahan dan lonjakan yang cukup baik.

“Kita tunggu masa kerusi-kerusi macam Tapah, Ayer Kuning, Chenderiang dan Perak secara keseluruhannya untuk diambil alih kerajaan PH,” katanya seperti dilapor Utusan Malaysia, hari ini.

Rafizi menambah, pihaknya bersedia menghadapi pilihan raya pada bila-bila masa meskipun tidak bersetuju ia diadakan pada musim banjir.

“Kita elakkan PRU15 semasa banjir kerana mahu beri tumpuan kepada bencana itu. Bagaimanapun, kalau diadakan masa banjir, kita akan masuk bersedia.

“Bersedia pertahankan hak rakyat untuk melantik kerajaan yang baik, bersedia juga untuk bantu mereka yang terkesan dengan banjir,” katanya.

Pada PRU14, PH menang 29 daripada 59 kerusi DUN Perak dan mendapat mandat membentuk kerajaan negeri selepas berjaya memperoleh majoriti mudah 31 kerusi DUN.

Mandat berkenaan diperoleh setelah dua wakil rakyat Barisan Nasional (BN) memilih menyertai PH.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button