57 pelajar di Mexico diracun bahan ‘misteri’
Ibu bapa percaya anak mereka terdedah pada air, makanan cemar

MEXICO CITY, 13 Rabiulawal 1444H, Isnin – Sekurang-kurangnya 57 pelajar diracuni bahan tidak dikenali di sebuah sekolah menengah luar bandar di selatan negeri Chiapas, Mexico, menurut pihak berkuasa tempatan.
Keracunan membabitkan kumpulan besar itu adalah yang ketiga di sekolah Chiapas yang dilaporkan sejak dua minggu lalu oleh media tempatan, dan ia menakutkan pelajar serta mencetuskan kemarahan ibu bapa.
Institut Keselamatan Sosial Mexico berkata, seramai 57 pelajar dalam komuniti luar bandar Bochil dihantar ke hospital tempatan dengan gejala keracunan.
Seorang daripada mangsa dilaporkan kritikal dan terpaksa dipindahkan ke hospital di ibu negeri, sementara selebihnya berada dalam keadaan stabil, kata instutut itu.
Pihak berkuasa tidak membuat spekulasi mengenai puncanya, tetapi media tempatan berkata, beberapa ibu bapa percaya pelajar itu terdedah kepada air atau makanan yang tercemar.
Pihak pendakwa negeri berkata, 15 ujian toksikologi telah dijalankan dan semua keputusan negatif dadah terlarang, selepas dakwaan tersebar di media sosial bahawa pelajar diuji positif kokain.
Ini selepas seorang lelaki dalam sebuah video mendakwa anak perempuannya diracun dan diuji positif kokain oleh makmal swasta bersama pelajar lain.
Bagaimanapun, pejabat pendakwa negeri tidak menjawab soalan mengenai ujian toksilogi seterusnya atau peristiwa keracunan sebelum itu.
Sejak 23 September lalu, media tempatan melaporkan dua kes keracunan membabitkan kumpulan besar di bandar Tapachula yang menjejaskan berpuluh-puluh pelajar.- Agensi