Berita Utama

Bajet 2023 sekadar halwa sedapkan telinga sebelum bubar Parlimen

Muhyiddin jamin PN bentang bajet lebih baik jika menang PRU15

BANGI, 13 Rabiulawal 1444H, Isnin – Perikatan Nasional (PN) memberi jaminan akan membentangkan belanjawan yang lebih baik sekiranya menubuhkan kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pengalaman memimpin kerajaan PN hampir 17 bulan lalu, membuktikan masalah rakyat dapat diurus dengan cekap menerusi pakej rangsangan diperkenalkan yang telah menyelamatkan banyak perniagaan, individu dan orang miskin.

Beliau menyifatkan Bajet 2023 yang dibentangkan Jumaat lalu hanya sekadar halwa telinga untuk menyedapkan hati sekiranya Parlimen dibubarkan dalam waktu terdekat.

“Bajet sudah bentang, kalaulah jadi (Isnin) Parlimen dibubarkan, apa jadi dengan belanjawan itu? Adakah sekadar halwa untuk sedapkan telinga jika berhenti di situ (tidak diluluskan Parlimen)?

“Bila PN menang nanti, kita bentang (bajet yang) Insya-Allah lebih baik,” katanya seperti dipetik media tempatan, hari ini.

Jumaat lalu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, RM372.3 bilion diperuntukkan bagi Bajet 2023 berbanding RM332.1 bilion pada 2022.

Katanya, dengan tekad ‘Keluarga Malaysia, Makmur Bersama’, bajet itu akan memastikan kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan, kemakmuran ekonomi dan kecekapan perkhidmatan kerajaan.

Dalam perkembangan lain, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata, beliau yakin dan optimis PN Perak berupaya memenangi PRU15 kali ini dengan berpandangan bahawa kemenangan di Perak menjadi indikator kemenangan bagi PN di Malaysia secara amnya termasuk merampas Johor.

Katanya, dari segi persiapan dan gerak kerja jentera yang ditunjukkan ketiga-tiga parti kompenan iaitu Bersatu, Pas dan Gerakan memberi peluang tinggi untuk menang di negeri itu.

“Saya sudah dapat rasakan Perak boleh menang, nampak ada harapan baik.

“Kalau menang peringkat Perak, menang seluruh negara, harap Johor pun menang jugalah,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button