Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita Utama

Bajet 2023 tak realistik, mampukah nak realisasi?

Hutang negara cecah RM1 trilion antara indikator membimbangkan

BANGI, 13 Rabiulawal 1444H, Isnin – Mampukah kerajaan merealisasikan Bajet 2023 dalam keadaan ekonomi dunia tidak menentu, termasuk ancaman kemelesetan yang dijangka tahun depan?

Demikian persoalan ditimbulkan Setiausaha Agung BERJASA, Ir Ts Muhammad Lukman Al-Hakim Mohamad apabila belanjawan yang dibentangkan kerajaan Jumaat lalu seolah terlalu besar, tidak realistik dan memberikan fokus yang kurang tepat.

Beliau berkata, bajet yang bertemakan ‘Keluarga Malaysia, Makmur Bersama’ itu mencatatkan rekod belanjawan terbesar dalam sejarah negara berjumlah RM372.3 bilion, sekiranya belanjawan tambahan tahun ini tidak diambil kira.

“Defisit fiskal terkini pada tahap 5.8 peratus KDNK dan hutang negara yang kini telah mencecah RM1 trilion, pada tahap 63.8 peratus KDNK adalah beberapa indikator yang amat membimbangkan.

“Pada pandangan saya, unjuran kerajaan berkenaan penurunan kadar defisit fiskal negara kepada 5.5 peratus pada tahun 2023 dan seterusnya 4.4 peratus pada tahun 2025 adalah terlalu optimis,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun, beliau masih menyambut baik pelbagai bantuan terus secara ‘one-off’ kepada golongan B40 dan M40, warga emas, belia, penjawat awam serta peniaga kecil dan sederhana yang membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap kumpulan berkenaan.

“Walaupun ada suara-suara yang mengatakan semua peruntukan ini merupakan gula-gula politik bagi menghadapi PRU15, bagi saya ia adalah sesuatu yang perlu dan merupakan tanggungjawab asasi kerajaan yang memerintah.

“Rakyat perlu matang, objektif dan membuat keputusan yang betul dalam memilik kerajaan dalam PRU15 akan datang tanpa perlu ‘terhutang budi’ dengan semua peruntukan yang telah dijanjikan oleh kerajaan sedia ada,” katanya.

Selain itu, Muhammad Lukman turut menyifatkan fokus kepada perubahan iklim serta keselamatan siber masih kurang diberi perhatian dan sepatutnya dipertingkatkan lagi.

Sedangkan dua isu ini katanya, adalah masalah paling genting yang melanda perniagaan di seluruh dunia seperti yang dinyatakan World Economic Forum.

“RM15 bilion untuk projek tebatan banjir sehingga tahun 2030 adalah sangat reaktif manakal RM73 juta untuk Cyber Security Malaysia memperkukuhkan aspek keselamatan siber negara pula amatlah tidak memadai.

“Saya juga berpandangan pelbagai bantuan dan geran padanan kepada para peniaga dan pemain industri digital akan kurang memberikan impak kepada pertumbuhan ekonomi jika kerajaan gagal memastikan ekosistem perniagaan negara kondusif dan berdaya saing di peringkat serantau dan global,” katanya.

Bajet 2023 dibentangkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz Jumaat lalu, memperuntukkan RM372.3 bilion bagi memastikan kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan, kemakmuran ekonomi dan kecekapan perkhidmatan kerajaan dapat dilaksanakan.

Dengan peningkatan peruntukan berbanding RM332.1 bilion dalam Bajet 2022, belanjawan tahun depan menetapkan sasaran memperkukuh momentum pemulihan dan daya tahan ekonomi serta melaksanakan pembaharuan menyeluruh.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button