Berita Utama

Parlimen ke-14 dibubar hari ini: PM

Bubar noktahkan suara 'ratib' keabsahan kerajaan digelar 'pintu belakang'

BANGI, 13 Rabiulawal 1444H, Isnin – Teka-teki mengenai pembubaran Parlimen akhirnya terjawab hari ini selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkannya sebentar tadi.

Selaras dengan Perkara 40 (2) (b) dan Perkara 55 (2) Perlembagaan Persekutuan, Ismail Sabri berkata, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah memperkenankan permintaannya supaya Parlimen ke-14 dibubarkan hari ini bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Justeru, beliau mengesyorkan ketua-ketua kerajaan negeri kecuali Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor supaya mengambil tindakan sewajarnya bagi membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada tarikh sama dengan pilihan raya umum di peringkat Parlimen.

Katanya, meskipun terdapat beberapa negeri yang memutuskan untuk tidak membubarkan DUN masing-masing, ia wajar untuk dilaksanakan serentak bagi memastikan rakyat tidak terbeban, selain kelancaran proses demokrasi serta menjimatkan kos.

“Dengan pengumuman ini, mandat akan dipulangkan kepada rakyat. Mandat rakyat adalah penawar ampuh bagi negara menzahirkan kestabilan politik dan mewujudkan kerajaan yang teguh, stabil serta dihormati selepas PRU15.

“Proses ini berlandaskan sistem demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan sebagai pasak pemerintah sejak negara mencapai kemerdekaan,” katanya dalam Perutusan Khas sempena Pembubaran Parlimen ke-14 yang disiarkan secara langsung melalui saluran stesen televisyen tempatan dan menerusi Facebook Live Perdana Menteri, hari ini.

Ismail Sabri berkata, pembubaran itu dilaksanakan bagi menoktahkan suara-suara yang selama ini meratib keabsahan kerajaan yang digelar ‘ ‘pintu belakang’ dan ‘tebuk atap’.

“Semoga rakyat menggunakan kuasa yang ada pada mereka untuk memilih kerajaan yang mampu meneruskan bajet Keluarga Malaysia 2023, mengekalkan kestabilan politik, memulih dan mengukuhkan ekonomi serta mengekalkan keharmonian dan perpaduan Keluarga Malaysia yang berbilang agama, kaum dan etnik,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut memaklumkan penetapan hari penamaan calon, hari mengundi dan urusan lain yang berkaitan adalah tertakluk kepada keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR).

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button