Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita Utama

PAS kecewa bubar Parlimen agak tergesa-gesa

Tetap optimis takkan gagalkan usaha penyatuan ummah

BANGI, 13 Rabiulawal 1444H, Isnin – PAS menyifatkan pembubaran Parlimen oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini dibuat dalam keadaan agak tergesa-gesa, hanya bagi tempoh empat tahun lima bulan untuk Penggal Parlimen ke-14.

Meskipun kecewa, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengakui parti itu tetap optimis usaha penyatuan ummah tidak akan digagalkan oleh sesuatu agenda yang bukan untuk kepentingan awam dan negara.

“Sehubungan itu, PAS mengajak seluruh rakyat menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi dalam PRU15 yang sangat penting ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Ismail Sabri menerusi perutusan khas jam 3 petang tadi mengumumkan pembubaran Parlimen ke-14 setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau berkata, mandat rakyat akan dipulangkan menerusi proses demokrasi yang menjadikan penawar ampuh bagi negara menzahirkan kestabilan politik dan mewujudkan kerajaan yang teguh, stabil serta dihormati selepas pilihan raya.

Katanya, pembubaran itu juga sekali gus menoktahkan suara-suara yang selama ini meratib keabsahan kerajaan yang digelar ‘pintu belakang’ dan ‘tebuk atap’.

Sementara itu, Istana Negara dalam kenyataan memaklumkan Al-Sultan Abdullah menzahirkan rasa kecewa dengan perkembangan politik semasa negara dan tidak mempunyai pilihan selain memperkenankan permintaan bagi pembubaran Parlimen.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata susulan rasa kecewa itu, Al-Sultan Abdullah memperkenankan permintaan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, memulangkan kembali mandat kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang stabil.

Justeru, katanya, Al-Sultan Abdullah menzahirkan harapan supaya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dapat menjalankan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dalam tempoh terdekat, dengan mengambil kira Monsun Timur Laut yang diramal bermula pertengahan November ini.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button