Berita Utama

PDRM siap sedia hadapi PRU15

Gerak 94,411 pasukan untuk pastikan proses demokrasi lancar

BANGI, 13 Rabiulawal 1444H, Isnin – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menggerakkan 94,411 daripada 120,557 pasukan untuk tugasan berkaitan persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, PDRM juga akan bekerjasama erat dengan semua agensi, terutama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi memastikan proses pemilihan demokratik di Malaysia berjalan lancar.

Beliau berkata, persediaan juga telah diatur untuk berganding bahu dengan lain-lain agensi penyelamat bersama-sama menghadapi sebarang kemungkinan berlakunya bencana alam dalam tempoh PRU15 kelak.

“PDRM meminta kerjasama semua pihak untuk bersama-sama memainkan peranan agar proses pilihan raya umum berlangsung tanpa sebarang insiden tidak diingini.

“Sebagai anggota masyarakat yang matang dalam menghadapi senari politik, usaha semua pihak untuk mengelak daripada menyentuh perkara-perkara sensitif amat diperlukan.

“PDRM komited dalam menjalankan penugasan bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri ke-9, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen ke-14 setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi memberi laluan kepada PRU15.

Menerusi perutusan khas petang tadi, beliau berkata, mandat rakyat akan dipulangkan menerusi proses demokrasi yang menjadikan penawar ampuh bagi negara menzahirkan kestabilan politik dan mewujudkan kerajaan yang teguh, stabil serta dihormati selepas pilihan raya.

Katanya, pembubaran itu juga sekali gus untuk menoktahkan suara-suara yang selama ini meratib keabsahan kerajaan yang digelar ‘pintu belakang’ dan ‘tebuk atap’

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button