Berita UtamaDunia

Rakyat Palestin makin terseksa hukuman kejam Israel

Rejim haram sekat akses perkhidmatan kecemasan kem pelarian

RAMALLAH, 13 Rabiulawal 1444H, Isnin – Penduduk Palestin di kem pelarian Shuafat dan bandar berdekatan Anata, pinggir Baitulmaqdis, menghadapi kesukaran yang semakin meningkat selepas pihak berkuasa rejim haram Israel mengenakan sekatan ke atas kawasan itu.

Tindakan keras berkenaan susulan insiden tembakan di pusat pemeriksaan tentera Israel pada Sabtu, lokasi seorang askar terbunuh dan dua lagi pengawal keselamatan Israel cedera.

Pada pagi Ahad, pasukan keselamatan Israel menutup semua pintu masuk ke kem pelarian, bandar Anata dan pinggir bandar Al-Salam, timur laut Baitulmaqdis.

Tentera melakukan pencarian dari rumah ke rumah dan menahan saudara-mara suspek yang didakwa mengetuai serangan itu.

Sekolah-sekolah Baitulmaqdis Timur juga ditutup kerana penempatan tentera Israel selepas satu malam pertempuran di kem Shuafat dan bandar berdekatan.

Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin berkata, tentera Israel menghalang kru ambulans daripada memasuki kem Shuafat dan Anata.

Dalam satu kenyataan akhbar, penduduk berkata, tentera menyekat akses kepada perkhidmatan kecemasan dan menghentikan kakitangan perubatan daripada melaksanakan tugas kemanusiaan mereka.

Penduduk kem Shuafat dikenali sebagai Ibrahim Mohammed, 53, menyifatkan situasi kemanusiaan sebagai mengerikan dan tragis kurang 24 jam selepas tentera menyekat akses ke tapak itu.

Dia menyifatkan, sekatan oleh pihak berkuasa tentera Israel sebagai ‘hukuman kolektif’ untuk 150,000 penduduk kem dan bandar jiran.

Sekatan itu menghalang doktor, pelajar, guru, peniaga dan pekerja pembersihan daripada memasuki atau meninggalkan kawasan berkenaan dan menghentikan bekalan barangan keperluan.

Selain itu, angkatan bersenjata Israel menggunakan dron pengawasan sebagai sebahagian daripada operasi pencarian berterusan.

Rakyat Palestin mengakui penggunaan dron bersenjata tentera Israel di Tebing Barat merupakan perkembangan baharu dalam serangan mautnya terhadap aktivis, seperti yang berlaku beberapa kali di Semenanjung Gaza. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button