Berita Utama

SPR akan adakan mesyuarat khas tentukan tarikh penting PRU15

Permohonan undi pos dalam dan luar negara dibuka serta-merta

PUTRAJAYA, 13 Rabiulawal 1444H, Isnin –  Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan dan menentukan tarikh penting Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) susulan pembubaran Parlimen Penggal ke-14, oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, hari ini.

Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak, dalam kenyataan  berkata, mesyuarat khas itu yang turut mengambil kira pelaksanaan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N66 Bugaya, Sabah, akan diadakan pada satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Mengambil maklum pengisytiharan pembubaran Parlimen ke-14, Ikmalrudin berkata, permohonan undi pos dalam dan luar negara bagi PRU15 dibuka serta-merta namun tarikh tutup berkenaan akan dimaklumkan kelak selepas mesyuarat bagi menentukan tarikh pilihan raya kelak.

Ismail Sabri dalam perutusan khas mengumumkan pembubaran Parlimen ke-14 berkuat kuasa hari ini. Pembubaran itu diperkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Dalam pada itu, Ikmalrudin  berkata, permohonan undi pos bagi Kategori 1A iaitu petugas pilihan raya, ahli atau pegawai SPR, anggota polis, anggota tentera dan petugas media, perlu memohon secara manual menggunakan Borang 1A.

“Borang 1A boleh dimuat turun daripada portal rasmi SPR di https://www.spr.gov.my. dan dihantar ke Pejabat Pegawai Pengurus Bahagian Pilihan Raya berkenaan. Alamat dan maklumat Pejabat Pegawai Pengurus boleh dirujuk di portal rasmi SPR, katanya.

Bagi Kategori 1B iaitu warganegara Malaysia yang berada di luar negara dan kategori 1C yang terdiri daripada agensi atau organisasi, permohonan perlu dikemukakan secara dalam talian melalui portal https://myspr.spr.gov.my/login, katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button