Berita Utama

BERJASA sedia bertanding PRU15

Hormat keputusan bubar Parlimen walau berpendapat tidak sesuai

BANGI, 14 Rabiulawal 1444H, Selasa – BERJASA masih berpendapat tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen berkuat kuasa pada Isnin tidak sesuai.

Ia berikutan mengambil kira faktor bencana banjir besar yang bakal melanda negara serta risiko nyawa yang bakal dihadapi oleh rakyat.

Biarpun begitu, BERJASA menghormati keputusan berkenaan di atas bidang kuasa Perdana Menteri serta Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, kata Setiausaha Agungnya, Zulkifli Yahya.

Katanya, pengumuman pembubaran Parlimen oleh Perdana Menteri sekali gus membuktikan bahawa desas-desus yang berkeliaran sebelum ini adalah benar.

“BERJASA sentiasa bersedia untuk bertanding di dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sebagai pilihan alternatif rakyat untuk memilih kepimpinan baharu Malaysia.

“BERJASA bersama Gerakan Tanah Air (GTA) akan membuat pengumuman berkenaan penglibatan PRU15 dari masa ke masa,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Terdahulu, Ismail Sabri mengumumkan pembubaran Parlimen berkuat kuasa semalam bagi memberi laluan kepada PRU15.

Pengumuman khas selepas memperoleh perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Perdana Menteri turut mengesyorkan ketua-ketua kerajaan negeri kecuali Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor supaya mengambil tindakan sewajarnya, bagi membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing pada tarikh yang sama dengan PRU peringkat Parlimen.

Meskipun beberapa buah negeri telah memutuskan untuk tidak membubarkan DUN masing-masing, Ismail Sabri berkata, langkah itu wajar dilaksanakan serentak bagi memastikan rakyat tidak terbeban, selain kelancaran proses demokrasi serta menjimatkan kos.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button