BERJASA umum tiga muka baharu perkukuh gerak kerja parti
Sedia tawar calon berwibawa, tiada kontroversi

BANGI, 14 Rabiulawal 1444H, Selasa – BERJASA hari ini mengumumkan pelantikan tiga muka baharu bagi memperkukuh gerak kerja parti berkenaan untuk mendepani Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Perkara itu selaras dengan pembubaran Parlimen yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam bagi memberi laluan kepada PRU15 diadakan.
Terdahulu, Perdana Menteri memaklumkan Parlimen dibubarkan berkuat kuasa semalam selepas diperkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Pembubaran kira-kira sembilan bulan sebelum penggal Parlimen ke-14 berakhir pada 15 Julai 2023, sekali gus menjawab segala teka-teki serta spekulasi berlegar sejak beberapa minggu lalu mengenai PRU15.
Dalam satu kenyataan, BERJASA memaklumkan Datuk Mohd Rosli Ramli dilantik sebagai Timbalan Presiden, sementara Dr Hajah Fadilah Ashari menggantikan Ustazah Siti Umi Kalsom Hussin yang memegang jawatan Ketua Wanita.
Selain itu, Zulkifli Yahya mengambil alih jawatan Ir Ts Muhammad Lukman Al Hakim sebagai Setiausaha Agung BERJASA.
“Pelantikan tiga muka baharu itu berkuat kuasa sejak Mesyuarat Agung Khas (EGM) BERJASA pada 8 Oktober lepas,” katanya.
Pada masa sama, BERJASA turut menstruktur dua anak muda di posisi Naib Presiden iaitu Lukman Al-Hakim dan Afif Badhrulhisham.
“BERJASA dan Gerakan Tanah Air (GTA) bersedia menawarkan calon yang berwibawa, tidak terpalit mana-mana isu kontroversi dan ikhlas bekerja untuk rakyat.
“PRU15 adalah masa untuk rakyat memilih pemimpin terbaik,” katanya.