Berita Utama

Bomba Selangor siap siaga hadapi fenomena air pasang besar

Dijangka melanda beberapa kawasan di Selangor sehingga Khamis ini

SHAH ALAM, 14 Rabiulawal 1444H, Selasa – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor bersiap siaga sebarang kemungkinan sepanjang fenomena air pasang besar yang dijangka melanda beberapa kawasan di Selangor sehingga Khamis ini.

Pengarah Bomba Selangor Norazam Khamis berkata pihaknya akan memastikan pemantauan di sebelah pagi dan petang dibuat terutamanya di beberapa lokasi titik panas sepanjang fenomena air pasang tersebut.

“Antara lokasi titik panas yang dikenal pasti adalah Pelabuhan Klang, Kuala Selangor, Sungai Pinang, Teluk Panglima Garang, Sungai Besar, Sekinchan dan Kapar,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Norazam turut menasihat orang ramai supaya sentiasa berwaspada dengan paras kenaikan air dan mengikut arahan pasukan penyelamat.

“Jika ada arahan untuk berpindah, mohon penduduk untuk mengikut nasihat pasukan penyelamat,” katanya.

Sementara itu, mengulas kejadian ban pecah di Tanjong Karang awal pagi tadi, beliau berkata ban tersebut telah siap dibaiki oleh Jabatan Pengaliran dan Saliran Selangor.

Pada Ahad lepas, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam perkongsian melalui Facebook memaklumkan bahawa Pusat Hidrografi Nasional meramalkan air pasang besar berlaku pada 8 hingga 13 Okt ini di beberapa kawasan iaitu Kuala Muda, Kedah; Bagan Datuk, Perak; Pelabuhan Klang, Selangor; serta Batu Pahat dan Pontian di Johor. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button