Berita Utama

DUN wajar bubar biar PRU15 dibuat serentak

Hanya tinggal beberapa bulan lagi, kenapa perlu tunggu tahun depan?

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 14 Rabiulawal 1444H, Selasa – Sebaiknya negeri-negeri yang mempunyai hayat tempoh penggal sama dengan Parlimen menyahut seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) serentak semalam.

Langkah itu bagi membolehkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dapat diadakan secara menyeluruh serentak tahun ini, kata Ahli Majlis Profesor Negara, Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood.

Beliau berkata, secara logiknya negeri-negeri yang mempunyai hayat sama dengan Parlimen sudah boleh membubarkan DUN mereka, memandangkan tempoh penggal ke-14 berakhir beberapa bulan sahaja lagi.

“Tetapi DUN tertakluk di bawah Perlembagaan negeri dan ia tertakluk kepada sultan dan gabenor negeri-negeri atas permintaan menteri besar serta ketua menteri.

“Jadi mereka mempunyai pilihan mereka. Sekalipun Parlimen bubar, tidak semestinya DUN akan bubar kerana ia tertakluk kepada kerajaan negeri masing-masing,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Semalam, Ismail Sabri menerusi perutusan khas pembubaran Parlimen mengesyorkan ketua-ketua kerajaan negeri kecuali Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor supaya mengambil tindakan sewajarnya bagi membubarkan DUN pada tarikh sama dengan pilihan raya umum di peringkat Parlimen.

Katanya, ia wajar untuk dilaksanakan serentak bagi memastikan rakyat tidak terbeban, selain kelancaran proses demokrasi serta menjimatkan kos.

Namun, setakat ini hanya DUN di bawah Barisan Nasional (BN) sahaja yang dibubarkan, sementara negeri-negeri lain di bawah pembangkang dan PAS masih belum membuat keputusan.

Berbeza dengan empat negeri itu, Prof Nik Ahmad Kamal berkata, tidak logik untuk Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor dibubarkan sekali lagi, memandangkan ia baru sahaja melantik kerajaan tidak lebih daripada dua tahun.

Sementara, bagi negeri-negeri lain yang hayatnya seperti Parlimen, beliau menyarankan supaya pembubaran DUN dilakukan tahun ini untuk memberikan laluan kepada PRU15.

“Pada saya, kenapa perlu tunggu sampai tahun depan, kenapa tidak dibubarkan sekali (DUN) supaya kerajaan dapat menggunakan perbelanjaan itu sekali harung.

“Maka, tak perlulah keluar perbelanjaan untuk tahun depan pula, kerana nanti kos lain.¬†

“Justeru, negeri-negeri seperti Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan sebagainya secara logik sudah boleh bubar kerana tempoh dah lebih empat tahun,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button